Isnin, 17 Januari 2022 | 9:59am
 Seorang wanita berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul. - Foto AFP
Seorang wanita berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul. - Foto AFP

Lagi ujian peluru balistik Korea Utara

SEOUL: Jepun melaporkan Korea Utara melancar peluru berpandu balistik, dipercayai ujian keempat bulan ini ketika Pyongyang terus maju dengan perkembangan ketenteraan baharu.

Tentera Korea Selatan juga melaporkan Korea Utara melepaskan peluncur tidak dikenal pasti ke arah lautan di luar pantai timurnya.

Dalam tempoh kurang dua minggu, Korea Utara yang memiliki senjata nuklear menjalankan tiga ujian peluru berpandu dengan kekerapan pelancaran luar biasa.

Dua daripadanya membabitkan 'peluru berpandu hipersonik' tunggal, mampu bergerak laju dan mengubah haluan selepas pelancaran, manakala yang terakhir adalah sepasang peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) ditembak dari kereta api, Jumaat lalu.

Jenis peluru berpandu digunakan dalam pelancaran dilaporkan hari ini bagaimanapun tidak diketahui.

Ia mendapat kecaman dan gesaan untuk dialog daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang sudah mengenakan sekatan baharu ke atas pelancaran peluru berpandu Korea Utara sebelum ini, serta mendesak lebih banyak lagi.

Pentadbiran Presiden AS Joe Biden mengenakan sekatan baharu pertamanya ke atas Pyongyang Rabu lalu, dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraihitamkan beberapa individu dan entiti Korea Utara.

Ia juga mengulangi seruan untuk berdialog, menggesa Pyongyang kembali berbincang bagi mengurangkan ketegangan dan memujuknya menyerahkan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik.

Korea Utara mempertahankan ujian peluru berpandu sebagai hak kedaulatannya untuk mempertahankan diri dan menuduh AS sengaja mengeruhkan keadaan dengan sekatan baharu.

Dalam kenyataan menjelang ujian peluru berpandu pada Jumaat lalu, Kementerian Luar Korea Utara berkata, walaupun AS mungkin bercakap mengenai diplomasi dan dialog, tindakannya menunjukkan ia masih asyik dengan dasarnya untuk 'mengasing dan menyekat' republik itu.

Pelancaran itu dibuat ketika Korea Utara dilihat sedang bersedia untuk membuka sekurang-kurangnya beberapa perdagangan merentasi sempadan daratnya dengan China.

Broker China menjangkakan penyambungan semula perdagangan dengan Korea Utara seawal Isnin selepas kereta api Korea Utara berhenti di bandar sempadan China pada Ahad dalam lintasan pertama sejak penutupan sempadan anti-COVID-19 bermula 2020. - REUTERS

Berita Harian X