Ahad, 16 Januari 2022 | 10:03pm
Penunjuk perasaan wanita Afghanistan berarak menuntut keadilan di Kabul sebelum diserang menggunakan semburan lada pemedih mata oleh pejuang Taliban. - Foto AFP
Penunjuk perasaan wanita Afghanistan berarak menuntut keadilan di Kabul sebelum diserang menggunakan semburan lada pemedih mata oleh pejuang Taliban. - Foto AFP

Wanita Afghanistan disembur pemedih mata oleh Taliban

KABUL: Pejuang Taliban hari ini melepaskan semburan lada pemedih mata ke arah sekumpulan penunjuk perasaan wanita di ibu kota Afghanistan yang menuntut hak bekerja dan pendidikan.

Sejak menguasai negara itu pada Ogos lalu, pihak berkuasa Taliban mengenakan sekatan yang semakin meluas terhadap warga Afghanistan, terutama wanita.

Kira-kira 20 wanita berkumpul di hadapan Universiti Kabul melaungkan 'kesaksamaan dan keadilan' selain membawa sepanduk bertulis 'Hak wanita, hak asasi manusia', lapor media.

Bagaimanapun, protes itu kemudiannya dileraikan pejuang Taliban yang tiba di tempat kejadian menaiki beberapa kenderaan.

"Apabila kami berada berhampiran Universiti Kabul, tiga kenderaan Taliban datang dan anggota dari salah satu kenderaan itu sambil menyembur cecair lada pemedih mata ke atas kami.

"Mata kanan saya mula pedih. Saya memberitahu salah seorang daripada mereka bahawa 'kamu memalukan' dan kemudian dia mengacukan pistol ke arah saya," kata seorang penunjuk perasaan yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.

Dua lagi penunjuk perasaan berkata, seorang daripada wanita itu terpaksa dibawa ke hospital selepas terkena semburan yang mengakibatkan kesan alahan pada mata dan mukanya.

Wartawan AFP turut melihat seorang pejuang Taliban merampas telefon bimbit seorang lelaki yang sedang merakam demonstrasi itu.

Taliban melarang bantahan tanpa kebenaran dan sering campur tangan secara paksa untuk menggagalkan himpunan bagi menuntut hak wanita.

Pihak berkuasa Taliban menyekat pekerja sektor awam wanita daripada kembali bertugas, banyak juga sekolah menengah masih belum dibuka semula untuk wanita, sementara universiti awam ditutup.

Perjalanan jarak jauh bagi wanita tanpa ditemani saudara lelaki terdekat adalah dilarang.

Taliban juga mengeluarkan garis panduan menghalang saluran televisyen daripada menyiarkan rancangan yang memaparkan pelakon wanita.

Sementara itu, ramai wanita hidup dalam ketakutan dengan rejim yang terkenal dengan pelanggaran hak asasi manusia ketika pertama kali berkuasa antara 1996-2001, sebelum digulingkan pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS). - AFP

Berita Harian X