Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:06pm
Penduduk Hong Kong tetap membeli hiasan Tahun Baharu Cina walaupun terpaksa diraikan di bawah perintah berkurung akibat peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS
Penduduk Hong Kong tetap membeli hiasan Tahun Baharu Cina walaupun terpaksa diraikan di bawah perintah berkurung akibat peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS

Hong Kong lanjut sekatan COVID-19 hingga selepas Tahun Baharu Cina

HONG KONG: Penduduk Hong Kong akan menyambut Tahun Baharu Cina yang sepi tahun ini selepas kerajaannya mengumumkan lanjutan sekatan hingga hari ketiga selepas sambutan itu.

Bandar terbabit kini bergelut dengan peningkatan kes baru COVID-19 sejak beberapa minggu lalu, kebanyakannya berkait dengan varian Omicron.

Lokasi seperti gimnasium, pawagam dan bar akan terus ditutup, sementara larangan makan di restoran selepas jam 6 petang diteruskan selama 14 hari lagi sehingga 3 Februari depan iaitu hari ketiga Tahun Baharu Cina.

Semalam, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, turut memaklumkan penggantungan penerbangan akan diteruskan sehingga 14 Februari depan, sementara acara berskala besar seperti pesta bunga tahunan dibatalkan.

"Saya tahu ini akan mengecewakan ramai orang," katanya pada satu taklimat 'COVID-19 masih belum terkawal'.

Beliau turut mengumumkan satu lagi pakej bantuan untuk perniagaan terjejas, di mana kerajaan akan mengagihkan HK$3.57 bilion (RM1.92 bilion ) menerusi dana anti-wabak pada minggu awal sambutan Tahun Baharu Cina.

Lam berkata, jika keadaan bertambah baik, kerajaannya mungkin melonggarkan peraturan mulai 4 Februari untuk premis seperti salun kecantikan, dengan individu lengkap vaksin dibenarkan masuk.

"Saya berharap untuk melihat kadar vaksinasi meningkat kepada lebih 80 atau hampir 90 peratus, bagi memungkinkan kita membenarkan premis ini mula beroperasi semula di bawah gelembung vaksin," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatannya semalam mendedahkan bandar itu merekodkan sembilan kes baru, enam daripadanya membabitkan kes import.

"Pada masa ini, biarpun jumlah kes Omicron stabil, atau seperti dilihat hari ini, sedikit berkurangan, tidak dapat dipastikan sama ada masih terdapat penularan yang tidak dapat dikesan di beberapa wilayah di Hong Kong," katanya.

Jangkitan wabak terbaru dikesan pada dua anak kapal Cathay Pacific, sekali gus menamatkan rekod tiga bulan berturut-turut tanpa penularan kes tempatan di bandar itu.

Kru syarikat penerbangan yang melanggar peraturan kuarantin di rumah itu sudah dipecat dan kerajaan juga melakukan siasatan terhadap syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan lebih ramai individu yang menghadiri satu majlis ulang tahun kelahiran seorang kenamaan, Dr Witman Hung, di dapati positif.

Ia juga menjadi kluster baru COVID-19, apabila tetamu yang dijangkiti kini semakin meningkat daripada 100 kepada 225 orang.

Dua siasatan berasingan sudah dijalankan ke atas parti Kongres Rakyat Kebangsaan ke-13, berkait sama ada berlaku pelanggaran peraturan kesihatan selain mengenai tingkah laku pegawai kerajaan yang menghadiri satu majlis sambutan hari jadi.

Setiausaha Makanan dan Kesihatan, Sophia Chan, berkata siasatan jenayah juga dilancarkan bagi menentukan sama ada undang-undang dilanggar dan pesalah akan didakwa.

Hong Kong merekodkan lebih 12,800 kes dan 213 kematian sejak wabak melanda.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa menjalankan lebih 1.1 juta ujian saringan asid nukleik, mengeluarkan 460 notis ujian saringan dan mengesan kes disahkan dalam 30 pemantauan ketika sekatan.

Ujian saringan yang dilaksana secara agresif mula membebankan sistem kesihatannya sementara sejumlah besar kenalan rapat yang diarah menjalani kuarantin wajib di Penny's Bay berdepan banyak masalah, termasuk gangguan bekalan elektrik dan ketiadaan makanan. - AGENSI

Berita Harian X