Selasa, 11 Januari 2022 | 12:55pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto REUTERS
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto REUTERS

Hong Kong tangguh pembelajaran bersemuka prasekolah, sekolah rendah

HONG KONG: Hong Kong mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara sesi pembelajaran secara bersemuka di prasekolah dan sekolah rendah, berkuat kuasa Jumaat ini hingga selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, ketika memaklumkan perkara itu berkata langkah sedemikian diambil susulan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, katanya, Hong Kong akan memperluaskan program imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berusia antara usia lima hingga 12 tahun.

Bagaimanapun, katanya, murid sekolah menengah masih akan meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka.

"Ia suatu keputusan yang sukar untuk dibuat kerana kita mahu menangani risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

"Tetapi pada masa sama khuatir keputusan sebegini bakal merencatkan pertumbuhan fizikal dan mental mereka," katanya pada sidang media, hari ini.

Penutupan operasi sekolah itu adalah langkah sekatan terbaharu yang terpaksa dilaksanakan di Hong Kong bagi membendung penularan jangkitan Omicron.

Minggu lalu, Lam mengumumkan penutupan gimnasium, perkhidmatan makan di kedai selepas jam 6 petang dan melarang warganegara yang pulang daripada lapan negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada.

Mengakui impak keputusan berkenaan kepada ekonomi, Lam berkata insentif untuk membantu perniagaan yang terjejas ekoran sekatan terbaharu itu akan diumumkan pada Jumaat ini.

Katanya, Hong Kong masih mempunyai lebihan dana boleh guna bagi tujuan membendung COVID-19 sebanyak AS$695 juta (RM2.914 bilion).

Beliau turut mempertahankan keputusan Hong Kong untuk menempatkan individu positif COVID-19 dan sudah lengkap dos vaksin, di kemudahan kuarantin kendalian kerajaan.

"Bayangkan jika kita tidak mempunyai usaha pengesanan kontak dan kuarantin, sebaliknya biarkan mereka kekal berada dalam komuniti.

"Bayangkan kadar penularan jangkitan yang bakal melonjak," katanya.

Memberikan contoh, Lam berkata sebuah majlis sosial, dihadiri lebih 200 tetamu, termasuk pegawai kerajaan yang diadakan di restoran sehingga melangkaui kapasiti sebenar adalah antara punca peningkatan kadar jangkitan COVID-19.

Malah, beliau mengkritik syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways Ltd, apabila kru syarikat berkenaan dikesan menjadi penyebab jangkitan kes Omicron kerana gagal mematuhi peraturan COVID-19 di Hong Kong.

"Kita akan mengambil tindakan undang-undang sebaik semua bukti dikumpulkan," katanya. - BLOOMBERG

Berita Harian X