Sabtu, 8 Januari 2022 | 1:15pm
(Gambar fail) Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - FOTO REUTERS

Hong Kong siasat 13 pegawai kanan hadir majlis hari jadi

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, mengarahkan siasatan dilakukan berhubung isu 13 pegawai kanan kerajaan menghadiri majlis hari jadi seorang perwakilan badan perundangan nasional ke China, di mana dua daripada 170 tetamunya dikesan positif COVID-19.

Pegawai berkenaan dan 19 ahli majlis perundangan 'hanya patriot' baharu Hong Kong - yang kesemuanya mencatat keputusan negatif COVID-19 setakat ini - serta tetamu lain terbabit sudah ditempatkan di fasiliti kuarantin, minggu ini.

Insiden berlaku ketika pihak berkuasa bertungkus lumus berusaha mengekang gelombang baharu penularan virus itu.

Lam dalam satu kenyataan, semalam, berkata beliau mengarahkan siasatan 'terperinci' dibuat bagi memastikan 'sama ada kehadiran 13 pegawai di majlis itu melanggar sebarang aspek disiplin.'

"Saya sudah mengarahkan semua pegawai yang tertakluk kepada kuarantin, supaya mereka tidak terus bertugas, sebaliknya dikehendaki mengambil cuti sendiri untuk kuarantin," katanya.

Majlis meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 Witman Hung itu diadakan Isnin lalu itu, iaitu sebelum sekatan baharu berkuat kuasa tetapi selepas Lam meminta penduduk Hong Kong untuk mengelakkan perhimpunan yang membabitkan ramai orang.

Menurut pihak berkuasa, antara pegawai kanan yang menghadiri majlis itu ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri, Casper Tsui; Pengarah Imigresen, Au Ka-wang; Pesuruhjaya Polis, Raymond Siu; dan Ketua Suruhanjaya Bebas Antirasuah Hong Kong, Simon Peh.

Keempat-empat mereka dan pegawai lain terbabit dilaporkan sudah memohon maaf secara terbuka berhubung isu berkenaan.

Rekod tiada jangkitan dalam komuniti selama tiga bulan di Hong Kong, berakhir 31 Disember lalu apabila penularan tempatan varian Omicron yang pertama disahkan.

Sejak itu, beberapa lagi kes dikesan dan ratusan kontak rapat dikenakan kuarantin.

Semalam, Hong Kong mengumumkan larangan makan dalam restoran selepas jam 6 petang; penutupan venue termasuk bar, kelab, gimnasium, salun kecantikan dan kolam renang; serta perhimpunan dihadkan kepada tidak lebih empat orang. - REUTERS

Berita Harian X