Rabu, 5 Januari 2022 | 8:18pm
Taliban arah pemilik kedai penggal kepala boneka pakaian. - Foto AGENSI
Taliban arah pemilik kedai penggal kepala boneka pakaian. - Foto AGENSI

Taliban arah pemilik kedai penggal kepala boneka pakaian

KABUL: Taliban mengarahkan pemilik kedai di barat Afghanistan supaya memenggal kepala boneka pakaian kerana disifatkan melanggar undang-undang Islam.

Rakaman video menunjukkan seorang lelaki memotong kepala patung terbabit tersebar di media sosial baru-baru ini.

Ketua Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat di bandar Herat, Aziz Rahman, berkata arahan sudah diberikan kepada semua pemilik kedai supaya memotong kepala boneka pakaian kerana ia melanggar undang-undang Syariah.

"Jika mereka sekadar menutup kepala patung terbabit atau menyembunyikan boneka berkenaan, malaikat tidak akan masuk ke premis atau kediaman mereka," katanya.

Setakat ini, kerajaan Taliban yang kembali memerintah Afghanistan tidak membuat sebarang dasar berhubung boneka pakaian atau patung.

Ketika pemerintahan pada 1990-an, Taliban mengundang kemarahan dunia apabila meletupkan dua patung Buddha.

Malah, sejak kembali berkuasa, mereka melarang gadis daripada hadir ke sekolah menengah di beberapa wilayah manakala kebanyakan wanita dilarang daripada bekerja di sektor awam.

Minggu lalu, pihak berkuasa di Kabul memaklumkan bahawa mana-mana wanita yang berhasrat melakukan perjalanan jauh, tidak akan diberikan kemudahan kenderaan kecuali mereka ditemani saudara lelaki.

Sejak Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan, sebahagian besar bantuan bernilai berbilion dolar dibekukan oleh Amerika Syarikat (AS) manakala bantuan antarabangsa lain dihentikan. - AFP

Berita Harian X