Rabu, 5 Januari 2022 | 6:59pm
Pesawat C-130 Taiwan terbang melepasi dua jet pejuang F-16V semasa latihan Tahun Baharu tahunan di Chiayi, Taiwan, pada 5 Januari 2022. - Foto REUTERS
Pesawat C-130 Taiwan terbang melepasi dua jet pejuang F-16V semasa latihan Tahun Baharu tahunan di Chiayi, Taiwan, pada 5 Januari 2022. - Foto REUTERS

Taiwan buat latihan ketenteraan, persediaan berdepan sebarang pertempuran

CHIAYI: Tentera Udara Taiwan menjalankan simulasi senario peperangan sebagai persediaan berdepan dalam pertempuran ketika ketegangan sedang memuncak dengan China.

Jet pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) dilihat melewati ruang udara Taiwan sekali gus menunjukkan persediaannya jika terbabit dalam sebarang senario.

Menerusi simulasi di pangkalan pesawat pejuang itu, kru penerbangan bersiap sedia dan bergegas ke jet terbabit sebaik siren kecemasan dibunyikan.

Latihan selama tiga hari itu bagi memaparkan kesediaan Taiwan dalam sebarang peperangan menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung bulan ini.

Ketegangan di Selat Taiwan semakin memuncak sejak beberapa tahun lalu dengan Taiwan sering mengadu mengenai misi ketenteraan China berhampiran pulau berkenaan.

Datuk Bandar, Yen Hsiang-sheng, berkata pesawat tentera China sering dilihat terbang berhampiran zon pertahanan udara (ADIZ) pulau berkenaan, ruang udara yang dipantau dan dikawal oleh Taiwan.

"Dengan kekerapan pesawat China memasuki ADIZ, juruterbang kami sangat berpengalaman dan sudah menangani hampir semua jenis pesawat mereka," katanya.

Taiwan sebelum ini menyifatkan aktiviti China sebagai peperangan 'zon kelabu', yang direka untuk melemahkan tentera Taiwan serta untuk menguji tindak balasnya.

Dalam ucapan tahun baharunya kepada China minggu lalu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, menyatakan kepada republik itu bahawa konflik ketenteraan bukan jawapan kepada penyelesaian masalah.

Bagaimanapun, Beijing dalam jawapan balasnya memberi amaran bahawa kemusnahan bakal berlaku jika Taiwan melepasi hadnya. - REUTERS

Berita Harian X