Selasa, 4 Januari 2022 | 3:22pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP

Kepupusan media tidak berlaku di Hong Kong - Carrie Lam

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata beliau tidak setuju dengan kenyataan yang menyatakan kebebasan akhbar di bandar itu menghadapi "kepupusan", selepas beberapa hari lalu, polis menyerbu media dalam talian dan menahan tujuh orang termasuk editor kanan.

Kenyataan itu juga dikeluarkan Lam pada sidang media mingguannya ketika satu lagi media dalam talian bebas, Citizen News, menghentikan operasi dalam persekitaran media yang semakin "merosot" di bekas tanah jajahan British yang diperintah China.

"Pagi ini saya membaca berita mengenai penutupan media dalam talian, kebebasan akhbar di Hong Kong menghadapi kepupusan... Saya tidak boleh terima dakwaan seperti itu," katanya sambil menekankan menekan kedaulatan undang-undang lebih penting dalam isu itu.

Hong Kong kembali kepada pemerintahan China pada 1997 dengan janji bahawa diberikan kebebasan hak individu termasuk kebebasan akhbar akan dilindungi.

Namun, katanya kumpulan hak asasi manusia dan beberapa kerajaan Barat berkata, kebebasan mulai terhakis di Hong Kong, selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong pada tahun lalu.

Kerajaan China berulang kali menafikan media dijadikan sebagai sasaran untuk mengekang kebebasan di wilayah hab kewangan global itu.

China berkata, sokongan terhadap hak kebebasan digunakan sebagai percubaan untuk mengganggu kemajuan Hong Kong selepas undang-undang keselamatan negara dilaksanakan bagi memulihkan kestabilan.

Pegawai menyerbu pejabat penerbitan dalam talian Stand News minggu lalu, membekukan asetnya dan menangkap tujuh editor kanan dan bekas ahli lembaga pengarah, manakala dua editor didakwa atas tuduhan menghasut.

Lam membidas kerajaan asing yang menuntut pembebasan tujuh pengamal media yang ditahan dan menegaskan perkara itu bertentangan dengan kedaulatan undang-undang wilayah bekas jajahan British itu.

Operasi polis terhadap Stand News berlaku sehari selepas pendakwa raya Hong Kong mengenakan pertuduhan tambahan menghasut terhadap taikun media yang dipenjarakan Jimmy Lai, 74, dari akhbar prodemokrasi Apple Daily yang kini sudah ditutup.

Semalam, portal dalam talian Citizen News berkata keputusan menghentikan operasi mulai hari ini dicetuskan oleh penutupan dan penahanan di Stand News demi keselamatan kakitangannya. - REUTERS

Berita Harian X