X
Isnin, 3 Januari 2022 | 6:34pm
Ejen Direktorat Am Perisikan (GDI) Taliban di Afghanistan menuang alkohol yang dirampas ke terusan Kabul. - Foto GDI
Ejen Direktorat Am Perisikan (GDI) Taliban di Afghanistan menuang alkohol yang dirampas ke terusan Kabul. - Foto GDI

3,000 liter minuman keras dibuang di terusan Kabul

KABUL: Pasukan ejen risikan Afghanistan membuang kira-kira 3,000 liter minuman keras dengan menuangnya ke dalam terusan Kabul susulan tindakan tegas terhadap larangan jualan alkohol oleh Taliban.

Semua minuman keras itu dirampas melalui serbuan di ibu negara terbabit sebelum rakaman video yang dikeluarkan Direktorat Am Perisikan (GDI)  menunjukkan ejennya menuang alkohol yang disimpan dalam tong ke terusan Kabul.

"Umat Islam perlu benar-benar menahan diri daripada menghasilkan dan memasarkan arak," kata seorang ulama dalam video yang disiarkan agensi itu menerusi Twitter semalam.

Menurut agensi terbabit, tiga pengedar turut ditahan dalam serbuan itu untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, larangan penjualan dan pengambilan alkohol sudah dikuatkuasa di Afghanistan, namun peraturan itu semakin tegas dilaksanakan di bawah pentadbiran Taliban.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran pada 15 Ogos lalu, berlaku peningkatan serbuan termasuk operasi membanteras penagihan dadah di Afghanistan.

Malah, Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat kerajaan Taliban juga mengeluarkan beberapa garis panduan yang mengehadkan peranan wanita.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Taliban mengarahkan pemilik kedai di wilayah barat Herat memenggal kepala patung hiasan yang dipamerkan di premis masing-masing kerana dianggap sebagai 'berhala'.

Keputusan itu dikeluarkan oleh Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat di Herat yang bertanggungjawab mentadbir tafsiran ketat Taliban.

Pada awalnya, pihak kementerian mengarahkan pemilik premis perniagaan mengeluarkan patung-patung itu sepenuhnya, namun pemilik kedai mengeluh tindakan itu akan menjejaskan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, ketua kementerian itu, Sheikh Aziz-u-Rahman, mengarahkan kepala patung itu perlu dipotong walaupun ada pemilik kedai memohon dibenarkan menutup kepala patung berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X