Isnin, 3 Januari 2022 | 9:19am
Bennett bercakap pada sidang media di Baitulmaqdis, semalam. - FOTO EPA
Bennett bercakap pada sidang media di Baitulmaqdis, semalam. - FOTO EPA

Warga emas, petugas kesihatan Israel bakal disuntik dos keempat vaksin

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, semalam mengumumkan dos keempat vaksin COVID-19 akan diberikan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas dan petugas kesihatan berikutan lonjakan jangkitan akibat penularan varian Omicron.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah meluluskan pemberian dos penggalak itu kepada mereka.

"Gelombang Omicron sedang melanda dan kita mesti melindungi diri," katanya pada satu sidang media.

Khamis lalu, Israel muncul negara pertama meluluskan pemberian dos keempat vaksin berkenaan kepada golongan mempunyai imuniti lemah.

Israel terus berdepan peningkatan kes COVID-19 dengan sebanyak 4,206 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, semalam.

Bennett memberi amaran, penularan boleh terus melonjak kepada kira-kira 50,000 kes sehari tidak lama lagi, sekali gus menggesa semua orang dewasa dan kanak-kanak untuk mendapatkan imunisasi.

Lebih empat juta daripada jumlah 9.2 juta populasi rejim itu, sudah menerima suntikan tiga dos vaksin COVID-19.

Setakat ini, Israel merekodkan hampir 1.4 juta kes COVID-19, termasuk 8,244 kematian. - AFP

Berita Harian X