Sabtu, 1 Januari 2022 | 12:56pm
Petugas kesihatan melakukan ujian PCR COVID-19 di klinik pandu lalu di Pantai Bondi St Vincent. - Foto AFP
Petugas kesihatan melakukan ujian PCR COVID-19 di klinik pandu lalu di Pantai Bondi St Vincent. - Foto AFP

COVID-19: Kes baharu melonjak di Australia

SYDNEY: Permulaan tahun baharu menyaksikan Australia merekodkan peningkatan kes baharu COVID-19, terutama di wilayah timurnya.

Malah, New South Wales terpaksa mengambil langkah melonggarkan peraturan kuarantin bagi petugas kesihatannya apabila jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital mencatatkan peningkatan.

Statistik jabatan kesihatan menunjukkan New South Wales, negeri berkepadatan penduduk yang tinggi dan Victoria, masing-masing merekodkan jumlah pesakit baharu seramai 22,577 dan 7,442 orang.

Empat kes kematian dicatatkan di New South Wales, manakala sembilan di Victoria menjadikan angka korban akibat pandemik itu melebihi 2,250 kes.

Queensland, Tasmania dan wilayah di ibu negara sebelum ini mencatatkan 33,161 kes pada hari pertama tahun baharu, berbanding 32,946 kes pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, semua negeri kecuali di barat Australia sudah mula hidup bersama virus itu berikutan kadar vaksinasi yang tinggi dan kelonggaran sekatan yang dilaksana menyebabkan kes kembali meningkat.

Kerajaan New South Wales melonggarkan peraturan kuarantin kepada petugas kesihatan yang bergejala yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat dengan memberi pengecualian kepada mereka yang bertugas di sektor kritikal.

Sejak sambutan Krismas tahun lalu, kes COVID-19 di New South Wales menyaksikan peningkatan tiga kali ganda daripada 6,288 kes.

Kadar kemasukan ke hospital pula meningkat sekali ganda kepada 901 berbanding 388 manakala jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 50 peratus kepada 79 orang. - Agensi

Berita Harian X