Jumaat, 31 Disember 2021 | 9:18am
Penjarakan fizikal kembali dikuatkuasa di Makkah oleh kerajaan Arab Saudi susulan peningkatan ketara kes COVID-19. - Foto AFP
Penjarakan fizikal kembali dikuatkuasa di Makkah oleh kerajaan Arab Saudi susulan peningkatan ketara kes COVID-19. - Foto AFP

Arab Saudi laksana semula penjarakan fizikal

RIYADH: Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam semua acara serta kegiatan, baik di dalam atau luar premis.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan semula beberapa sekatan COVID-19 selepas dunia merekodkan 6.5 juta kes dalam tempoh satu minggu.

Angka itu juga adalah jumlah kes mingguan tertinggi sejak wabak itu bermula dua tahun lalu, malah kadar jangkitan harian juga melepasi sejuta kes buat pertama kali.

Arab Saudi merekodkan 744 kes baharu COVID-19 setakat kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan sejak permulaan wabak itu kepada 554,665 kes dengan satu kematian terbaru direkodkan.

Sebanyak 187 kes direkodkan di Riyadh, Makkah (155 kes), Jeddah (149 kes), Hofuf (32 kes), Madinah (22 kes), al-Mubarraz (22 kes), al-Khobar (18 kes), Arar (16 kes) dan 14 kes di Dammam.

Jumlah keseluruhan kes pulih di negara itu meningkat kepada 541,388 orang selepas 231 lagi pesakit pulih daripada virus itu manakala 8,874 mangsa meninggal dunia akibat coronavirus setakat ini.

Orang ramai yang tinggal di Arab Saudi digesa mematuhi protokol baharu bagi mengelak daripada berdepan hukuman undang-undang kerana gagal mematuhi langkah berkenaan.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), jumlah kes harian baharu melepasi 2,000 kes baru-baru ini, juga buat kali pertama sejak Jun lalu. - AGENSI

Berita Harian X