Sabtu, 25 Disember 2021 | 5:30pm
Rakyat Yaman memeriksa kerosakan berikutan serangan udara semalaman yang dilaporkan oleh pakatan diketuai Arab Saudi yang menyasarkan ibu kota yang dikuasai pemberontak Huthi, Sanaa. - Foto AFP
Rakyat Yaman memeriksa kerosakan berikutan serangan udara semalaman yang dilaporkan oleh pakatan diketuai Arab Saudi yang menyasarkan ibu kota yang dikuasai pemberontak Huthi, Sanaa. - Foto AFP

5 terbunuh dalam pertempuran pemberontak Arab Saudi dan Yaman

SANAA: Wakil kerajaan hari ini mengesahkan lima terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita manakala belasan mangsa lagi cedera di Arab Saudi dan Yaman dalam serangan di kedua-dua negara.

Dalam insiden itu, dua mangsa terkorban di Arab Saudi dalam serangan peluru didakwa dilakukan pemberontak Huthi Yaman, manakala tiga maut di Yaman dalam serangan udara membabitkan gabungan pimpinan Riyadh.

Menurut pertahanan awam Arab Saudi, dua mangsa membabitkan warga negara itu dan Yaman terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan peluru di Jazan, iaitu wilayah selatan Arab Saudi yang bersempadan dengan Yaman.

"Sebuah peluru tentera jatuh ke atas sebuah kedai komersial di jalan utama, mengakibatkan dua kematian.

"Manakala tujuh lagi cedera membabitkan enam warga Arab Saudi dan seorang rakyat Bangladesh," katanya.

Sementara itu, pihak perubatan di Yaman mengesahkan tiga terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan udara dipimpin Arab Saudi di Ajama, iaitu sebuah bandar di barat laut ibu kota yang dikuasai pemberontak Sanaa.

"Tiga orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita terbunuh dan enam lagi cedera," katanya kepada AFP.

Yaman mula dilanda perang saudara sejak 2014, dengan penentangan terhadap pemberontak Huthi yang disokong Iran.

Huthi menentang kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang disokong oleh gabungan tentera pimpinan Arab Saudi.

Huthi Yaman kerap melancarkan serangan membabitkan peluru berpandu dan dron ke negara jiran Arab Saudi yang menyasarkan lapangan terbang dan infrastruktur minyaknya.

Namun, insiden terbaharu ini buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa bulan mengakibatkan kematian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan perang Yaman akan meragut 377,000 nyawa menjelang akhir tahun ini sama ada melalui kesan langsung dan tidak langsung.

Rentetan daripada peperangan itu, lebih 80 peratus penduduk Yaman yang berjumlah kira-kira 30 juta memerlukan bantuan kemanusiaan. - AFP

Berita Harian X