Jumaat, 24 Disember 2021 | 1:15pm
Sebuah feri yang sarat dengan penumpang, terbakar di Bangladesh, hari ini. - Foto AFP
Sebuah feri yang sarat dengan penumpang, terbakar di Bangladesh, hari ini. - Foto AFP

Sekurang-kurang 32 maut feri terbakar di Bangladesh

DHAKA: Sekurang-kurang 32 maut apabila sebuah feri yang sarat dengan penumpang, terbakar di selatan Bangladesh, hari ini, menurut polis.

Tragedi menimpa feri membawa kira-kira 500 penumpang itu berlaku pada awal pagi tadi berhampiran pekan luar bandar, Jhalokathi, terletak kira-kira 250 kilometer (km) selatan Dhaka.

"Feri tiga tingkat, Obhijan 10, terbakar di tengah-tengah sungai. Setakat ini, kami sudah menemui 32 mayat, namun angka korban berkemungkinan meningkat.

"Kebanyakan mangsa terbabit maut akibat kebakaran, manakala beberapa lagi lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika kejadian," kata ketua polis tempatan, Moinul Islam, kepada AFP.

Islam berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada api tercetus di dalam bilik enjin sebelum merebak ke seluruh feri berkenaan yang membawa penumpang dari Dhaka.

"Kami sudah menghantar kira-kira 100 mangsa yang melecur ke hospital di Barisal," katanya.

Ia adalah nahas terkini dalam pelbagai insiden seumpama itu yang dilaporkan di negara delta memiliki banyak sungai ini.

Pakar di Asia Selatan dengan kepadatan penduduk berjumlah 170 juta orang ini menyalahkan kelemahan penyelenggaraan, standard keselamatan yang longgar di limbungan, serta membawa penumpang berlebihan sebagai antara punca utama kejadian sedemikian.

Ogos lalu, sekurang-kurang 21 maut apabila sebuah bot yang sarat penumpang, berlanggar dengan kapal kargo dipenuhi muatan pasir di sebuah tasik di timur negara ini. - AFP

Berita Harian X