Khamis, 23 Disember 2021 | 10:00pm
Pihak polis memeriksa lokasi letupan di sebuah kompleks mahkamah di Ludhiana, Punjab di India. - Foto AFP
Pihak polis memeriksa lokasi letupan di sebuah kompleks mahkamah di Ludhiana, Punjab di India. - Foto AFP

2 terbunuh dalam letupan di kompleks mahkamah India

NEW DELHI: Dua terbunuh manakala dua lagi parah dalam letupan di sebuah bangunan kompleks mahkamah di India .

Rakaman video memaparkan anggota polis bergegas membawa mangsa yang cedera selain mengarahkan orang ramai supaya segera keluar dari bangunan berkenaan.

Difahamkan, letupan berlaku berhampiran tandas dalam kompleks mahkamah di Ludhiana, utara ibu negara, New Delhi.

Seorang pegawai polis mengesahkan berlaku satu letupan, namun pihaknya tidak dapat menentukan punca sebenar kejadian.

"Kami juga mengesahkan empat mangsa terbabit dalam tragedi ini dengan dua daripadanya disahkan terkorban," menurutnya.

Letupan itu merosakkan dinding tandas selain menyebabkan serpihan cermin bertaburan di bilik lain.

Ketua Menteri Punjab, Charanjit Singh Channi, berkata kerajaan memandang serius perbuatan itu dan memaklumkan siasatan akan dijalankan.

"Saya akan melawat lokasi kejadian dalam tempoh terdekat dan memberi jaminan kepada rakyat bahawa mereka yang terbabit dalam letupan ini akan bertanggungjawab.

"Sesiapa saja yang cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian negeri ini akan dikenakan tindakan," katanya. - AFP

Berita Harian X