Rabu, 22 Disember 2021 | 7:10am
Kemusnahan dialami di lapangan terbang antarabangsa Sanaa, Yaman akibat serangan udara tentera pakatan Arab Saudi. FOTO AFP
Kemusnahan dialami di lapangan terbang antarabangsa Sanaa, Yaman akibat serangan udara tentera pakatan Arab Saudi. FOTO AFP

Lapangan terbang Sanaa 'lumpuh'

SANAA: Penerbangan membawa bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke ibu kota Yaman yang dikuasai pemberontak terpaksa dihentikan susulan serangan udara dilancarkan pakatan tentera diketuai Arab Saudi, kelmarin.

Pegawai lapangan terbang yang enggan identitinya didedahkan berkata, serangan menyasarkan pemberontak Houthi itu mengakibatkan lapangan terbang Sanaa tidak lagi dapat menerima pendaratan pesawat dikendalikan PBB atau organisasi kemanusiaan.

"PBB harus menghentikan serangan udara itu bagi membolehkan lapangan terbang itu beroperasi semula," katanya, semalam.

Gabungan tentera terbabit dilaporkan melakukan sejumlah serangan tepat ke atas sasaran tentera yang sah di lapangan terbang antarabangsa Sanaa.

Agensi akhbar rasmi Arab Saudi melaporkan, operasi itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap ancaman dan penggunaan infrastruktur lapangan terbang untuk melakukan serangan rentas sempadan.

Serangan itu mengenai enam sasaran di lapangan terbang, termasuk tapak didakwa digunakan untuk 'mengawal serangan dron yang sarat dengan bahan letupan' atau untuk 'melatih anasir pengganas'.

Gabungan tentera itu menegaskan serangan udara itu mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tidak seharusnya memberi kesan kepada operasi lapangan terbang itu.

Pemberontak yang disokong Iran didakwa berulang kali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Arab Saudi, menyasarkan lapangan terbang dan infrastruktur minyak kerajaan.

Penerbangan ke lapangan terbang Sanaa sebahagian besarnya dihentikan akibat sekatan diketuai Arab Saudi sejak Ogos 2016, tetapi penerbangan bantuan kemanusiaan dibenarkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lapangan Terbang Sanaa, Khaled al-Shayef berkata, serangan itu mengakibatkan kawasan kuarantin kesihatan dan gudang penyimpanan barang eksport dan import musnah.

Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Farhan Haq turut menyeru semua pihak untuk memastikan lapangan terbang dibuka bukan saja untuk operasi kemanusiaan, sebaliknya termasuk operasi penerbangan awam dan komersial biasa. - AFP

Berita Harian X