Selasa, 21 Disember 2021 | 1:53pm
Petugas kesihatan melakukan ujian swab COVID-19 di pusat ujian saringan pandu lalu di barat bandar raya Sydney. - Foto AFP
Petugas kesihatan melakukan ujian swab COVID-19 di pusat ujian saringan pandu lalu di barat bandar raya Sydney. - Foto AFP

Kes Omicron meningkat, Australia tetap tolak perintah berkurung

SYDNEY: Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata negara itu perlu beralih daripada melaksanakan 'langkah tegas pemerintah' dan pihak berkuasa hendaklah berusaha mengurangkan gangguan pada kehidupan harian orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika negara itu berdepan dengan peningkatan kes jangkitan harian ke paras rekod akibat varian Omicron, sejak pandemik melanda negara itu.

Kes COVID-19 terus meningkat sejak beberapa hari lalu, dengan lonjakan kes didorong oleh penularan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit, namun Morrison menegaskan bahawa usaha membendung penularan virus itu bergantung kepada tanggungjawab setiap individu.

"Kita perlu beralih daripada pelaksanaan langkah tegas pemerintah dan sebaliknya melayan rakyat Australia seperti orang dewasa," kata Morrison kepada para wartawan, sambil menggesa pihak berkuasa supaya beralih dari 'budaya mandat' berhubung pelitup dan peraturan jarak selamat.

"Kita tidak akan kembali melaksanakan perintah berkurung. Kita akan terus hidup bersama virus ini dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Perintah berkurung yang ketat dan peraturan penjaran fizikal yang dikuatkuasakan sejauh ini berhasil membantu Australia mengekalkan jumlah kes COVID-19 yang agak rendah iaitu sekitar 260,000 kes secara keseluruhannya dengan 2,154 kematian.

Namun banyak kawasan di negara itu sudah dibuka semula sejak beberapa minggu lalu menyusuli kadar vaksinasi yang lebih tinggi walaupun terdapat ancaman daripada varian Omicron.

Pihak berkuasa kini menyasarkan untuk mempergiatkan pelaksanaan dos penggalak dengan Morrison menggesa pihak berkuasa wilayah untuk membuka semula beratus-ratus hab vaksinasi yang ditutup selepas permintaan menjadi perlahan setelah kadar dos dua suntikan dalam kalangan individu berusia 16 tahun dan ke atas melebihi 80 peratus.

Walaupun varian Omicron menular dengan pantas, Menteri Kesihatan Persekutuan, Greg Hunt berkata, hanya segelintir kes jangkitan perlu dimasukkan ke hospital, lapor agensi berita CNA.

Bilangan pesakit di hospital meningkat dengan perlahan, tetapi masih jauh lebih rendah berbanding semasa penularan varian Delta.

Kira-kira 4,600 kes dilaporkan di Australia hari ini, melepasi rekod tertinggi sebelum itu iaitu sekitar 4,100 pada hujung minggu. Ibu kota New South Wales, Sydney, menjadi wilayah Australia pertama yang menjangkaui 3,000 jangkitan harian COVID-19, manakala wilayah Victoria melaporkan 1,245 kes. Wilayah-wilayah lain mencatat jumlah kes jangkitan yang lebih rendah. - AGENSI

Berita Harian X