Selasa, 21 Disember 2021 | 10:22am
Petugas pilihan raya mengosongkan peti undi selepas pengundian memilih wakil dalam badan perundangan di Hong Kong ditutup Ahad lalu. - Foto AFP
Petugas pilihan raya mengosongkan peti undi selepas pengundian memilih wakil dalam badan perundangan di Hong Kong ditutup Ahad lalu. - Foto AFP

G7 kecam pilihan raya Hong Kong 'menghakis' demokrasi

HONG KONG: Kuasa besar dunia mengecam tindakan China yang mengawal ketat pilihan raya Hong Kong yang disifatkan menghakis demokrasi di wilayah bekas jajahan British itu.

Tindakan China yang mengawal pilihan raya termasuk kerusi yang dipilih secara langsung dan mengawal siapa yang boleh menjadi calon dilaksanakan sebagai tindak balas kepada protes pro-demokrasi besar-besaran dua tahun lalu.

Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas wilayah bekas tanah jajahan British dengan melaksanakan peraturan politik yang memeriksa kesetiaan sesiapa yang bertanding.

Undian awam pertama di bawah perintah baharu itu diadakan Ahad lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah manakala bilangan mereka yang dipilih secara langsung dikurangkan daripada separuh kepada 22 peratus.

Angka menunjukkan hanya 30 peratus pengundi membuang undi, kadar terendah sejak penyerahan semula Hong Kong kepada China pada 1997.

Peratusan keluar mengundi pada pilihan raya perundangan terakhir pada 2016 ialah 58 peratus, manakala pilihan raya majlis daerah 2019, yang menyaksikan tokoh pro-demokrasi menang besar, merekodkan 71 peratus.

Menteri Luar Kumpulan G7 dalam kalangan negara maju menyatakan 'kebimbangan terhadap penghakisan unsur demokrasi' dalam sistem pilihan raya Hong Kong selepas tinjauan pendapat diadakan.

Proses tapisan baharu 'untuk menyekat pilihan calon pada kertas undi menjejaskan tahap autonomi Hong Kong yang tinggi' mengikut prinsip 'Satu Negara, Dua Sistem' yang dipersetujui dalam perjanjian penyerahan wilayah itu dari UK kepada China pada 1997.

Menteri Luar Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, UK dan AS menggesa China memulihkan keyakinan terhadap institusi politik Hong Kong dan menamatkan penindasan yang tidak wajar terhadap mereka yang mempromosikan nilai demokrasi dan mempertahankan hak dan kebebasan.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell dalam satu kenyataan berkata, tinjauan itu adalah satu lagi langkah dalam pembongkaran prinsip 'Satu Negara Dua Sistem', dan meminta autonomi yang tinggi serta menghormati hak asasi manusia, kebebasan asas, prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Hong Kong.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand menegur sistem baharu itu dalam nada tegas menyatakan perubahan itu menghapuskan suara politik pembangkang yang bermakna.

"Kita bimbang dengan kesan yang lebih besar daripada pelaksanaan Undang-undang Keselamatan Negara dan sekatan yang semakin meningkat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun, yang dirasai di seluruh masyarakat sivil," kata kenyataan bersama negara sekutu Barat itu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam bagaimanapun mempertahankan sistem baharu itu dan menepis peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Hong Kong kini kembali ke landasan yang betul. Kami tidak boleh menyalin dan menampal sistem atau peraturan demokrasi negara Barat," katanya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyalahkan kebimbangan awam terhadap COVID-19 menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah dan elemen anti-China yang ingin memusnahkan Hong Kong dan campur tangan kuasa luar. - AFP

Berita Harian X