Isnin, 20 Disember 2021 | 11:44am
Guterres (kiri) bertemu Aoun ketika lawatannya ke Lubnan. FOTO AFP
Guterres (kiri) bertemu Aoun ketika lawatannya ke Lubnan. FOTO AFP

PBB gesa pemimpin politik Lubnan henti bertelagah

LUBNAN: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kesal dengan tindakan pemimpin politik di Lubnan yang didakwanya terus bertelagah sehingga menyebabkan negara itu 'lumpuh' dan rakyatnya menderita.

"Melihat penderitaan rakyat Lubnan, pemimpin politik negara itu tidak berhak untuk berpecah-belah sekali gus melumpuhkan negara.

"Rakyat Lubnan juga mengharapkan pemimpin politik mereka untuk memulihkan semula ekonomi dan menghidupkan fungsi kerajaan serta institusi negara," katanya pada sidang media ketika melawat Lubnan, semalam.

Guterres turut ditemani Presiden Lubnan, Michel Aoun dan objektif pertemuan dua pemimpin adalah membincangkan kaedah terbaik membantu rakyat negara itu mengatasi krisis ekonomi dan kewangan semasa selain untuk menggalakkan keamanan, kestabilan serta pembangunan mampan.

Lubnan kini dilanda kegawatan ekonomi yang dianggap Bank Dunia sebagai antara 'paling teruk' sejak 1850-an yang mana kira-kira 80 peratus penduduk negara itu hidup di bawah garis kemiskinan.

Sehingga kini, Kabinet gagal bermesyuarat sejak pertengahan Oktober lalu disebabkan pertikaian membabitkan siasatan bencana letupan pelabuhan Beirut pada Ogos 2020 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 215 orang, selain mencederakan ribuan penduduk serta memusnahkan sebahagian besar ibu kota.

Pada masa sama, Guterres menggesa ahli politik Lubnan bekerjasama menyelesaikan krisis dan menyeru masyarakat antarabangsa mengukuhkan sokongannya kepada Lubnan.

Katanya, pilihan raya akan menjadi kunci untuk rakyat Lubnan terbabit sepenuhnya dalam menyatakan suara membawa negara bergerak ke hadapan.

Dalam kunjungan itu, Guterres dijadual melawat tapak letupan pelabuhan Beirut selain bertemu pegawai peringkat tinggi, pemimpin agama dan wakil pertubuhan masyarakat sebelum berangkat pada Rabu.

Sementara itu, Aoun berkata, pihaknya menjangkakan pilihan raya dijadual pada Mac tahun depan akan lebih telus dan adil.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang mengusahakan rancangan menggerakkan semula ekonomi khususnya membabitkan aspek reformasi kewangan dan pentadbiran, termasuk rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). - AFP

Berita Harian X