Ahad, 19 Disember 2021 | 9:09pm
Penduduk Afghanistan meninggalkan pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Kabul sejurus tiba dari Herat. Kerajaan Taliban mula mengeluarkan pasport yang akan membolehkan mereka ke luar negara. - Foto AFP
Penduduk Afghanistan meninggalkan pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Kabul sejurus tiba dari Herat. Kerajaan Taliban mula mengeluarkan pasport yang akan membolehkan mereka ke luar negara. - Foto AFP

Ratusan beratur mohon pasport, mahu keluar dari Afghanistan

KABUL: Ratusan orang mengharungi musim sejuk dengan suhu di bawah 0 darjah Celsius di ibu negara Afghanistan untuk beratur di luar pejabat pasport awal hari ini.

Mereka tidak mahu ketinggalan selepas kerajaan Taliban semalam mengumumkan akan mula mengeluarkan dokumen perjalanan itu, yang dihentikan sejak 15 Ogos lalu.

Ramai beratur sejak malam sebelumnya, dengan sebahagian besar terdesak untuk meninggalkan negara itu bagi rawatan perubatan sementara yang lain ingin melarikan diri daripada pemerintahan baharu Taliban.

Pihak berkuasa Taliban menggunakan kekerasan secara berkala terhadap orang ramai yang berhimpun di hadapan barisan dan di sekatan jalan raya berdekatan.

"Kami tidak mahu sebarang serangan berani mati atau letupan berlaku," kata anggota keselamatan Taliban, Ajmal Toofan, 22, yang menyuarakan kebimbangan mengenai bahaya susulan himpunan membabitkan orang ramai.

Kumpulan militan Daesh tempatan yang juga musuh utama Taliban, membunuh lebih 150 orang pada penghujung Ogos lalu ketika penduduk Afghanistan berasak-asak di lapangan terbang Kabul.

Mereka terdesak untuk keluar dari negara itu beberapa hari selepas regim baharu mengambil alih pemerintahan, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Mohammed Osman Akbari, 60, berkata dia berusaha untuk segera terbang ke Pakistan memandangkan hospital usang di tempat tinggalnya tidak dapat melakukan prosedur pembedahan jantung.

"Pakar perubatan memasang 'spring' (merujuk kepada stent) pada jantung dan ia perlu dikeluarkan, namun prosedur itu tidak boleh dibuat di sini," katanya.

Pada Oktober lalu, pihak berkuasa membuka semula pejabat pasport di Kabul susulan lambakan permohonan yang menyebabkan peralatan biometrik rosak.

Bagaimanapun, pejabat itu semalam memberitahu, isu berkenaan sudah berjaya diatasi dan pemohon sudah boleh mengambil dokumen mereka. - AFP

Berita Harian X