Ahad, 19 Disember 2021 | 12:56pm
Penduduk bandar raya Hong Kong melalui poster calon wakil rakyat dari Persekutuan Kesatuan Sekerja Hong Kong, Stanley Ng pada pilihan raya yang bermula hari ini. - Foto AFP
Penduduk bandar raya Hong Kong melalui poster calon wakil rakyat dari Persekutuan Kesatuan Sekerja Hong Kong, Stanley Ng pada pilihan raya yang bermula hari ini. - Foto AFP

Pilihan raya 'hanya patriot' di Hong Kong bermula

HONG KONG: Proses pengundian memilih wakil rakyat baharu di Hong Kong bermula hari ini, di bawah peraturan Beijing iaitu 'hanya patriot'.

Ia sekali gus secara drastik mengurangkan bilangan kerusi yang dipilih secara langsung selain turut mengawal siapa boleh menjadi calon yang bertanding.

Ia adalah pemilihan pentadbiran pertama yang diawasi pelan tindakan politik baharu dikenakan China ke atas Hong Kong sebagai tindak balas kepada protes pro-demokrasi besar-besaran dua tahun lalu.

Bawah peraturan baharu itu, kesemua 153 calon terbabit juga disaring dari segi kesetiaan politik dan patriotisme mereka dengan hanya 20 daripada 90 kerusi Parlimen akan dipilih secara langsung.

Pusat pengundian mula dibuka di seluruh bandar pada jam 8.30 pagi (0030 GMT) bagi 4.5 juta pemilih berdaftar daripada keseluruhan 7.5 juta penduduk dan akan ditutup 14 jam kemudian dengan pengundian menunjukkan peratusan keluar mengundi mungkin rendah.

40 kerusi Ahli Parlimen lagi akan dipilih oleh jawatankuasa yang terdiri daripada 1,500 penyokong setia Beijing, manakala baki 30 akan dipilih jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai yang mewakili kumpulan berkepentingan khas dan industri.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam dan barisan menterinya diminta untuk menaikkan semangat orang ramai keluar membuang undi masing-masing.

Buat pertama kalinya, pusat mengundi dibuka di sempadan untuk memenuhi keperluan warga Hong Kong yang tinggal di tanah besar China.

Walaupun terdapat publisiti di seluruh bandar termasuk langkah kerajaan membeli media, data pengundian terkini menunjukkan hanya 48 peratus responden akan keluar mengundi, sekali gus menunjukkan rekod rendah.

Sementara itu, baki 52 peratus berkata, mereka tidak menemui calon yang layak untuk disokong.

Lam bagaimanapun memberitahu media kerajaan minggu lalu bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah mungkin menunjukkan 'kerajaan berjalan dengan baik dan kredibilitinya tinggi.'

Beijing dilaporkan berkata, sistem pilihan raya yang 'diperbaiki' itu akan menghapuskan elemen 'anti-China', menyelesaikan masalah di Hong Kong, serta memastikan badan perundangan tidak lagi terjejas dengan tindakan pihak prodemokrasi.

Berita Harian X