Rabu, 15 Disember 2021 | 12:15pm
Berjuta warga Hong Kong ditawar peluang menjadi warganegara Britain bagi melepaskan diri dari tindakan keras China. - Foto AFP
Berjuta warga Hong Kong ditawar peluang menjadi warganegara Britain bagi melepaskan diri dari tindakan keras China. - Foto AFP

88,000 warga Hong Kong memohon visa penempatan semula British

HONG KONG: Hampir 90,000 warga Hong Kong memohon penempatan semula di Britain di bawah skim visa baharu yang menawarkan laluan mendapatkan kewarganegaraan negara itu.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan yang mengutuk tindakan keras China terhadap perbezaan pendapat di bekas tanah jajahan Britain itu.

Britain melancarkan skim visa baharu Januari lalu kepada lima juta warga Hong Kong sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh oleh Beijing, tahun lalu.

Undang-undang itu digunakan untuk menghapuskan perbezaan pendapat dalam tindakan keras yang dilabelkan oleh Britain sebagai pelanggaran janji Beijing untuk mengekalkan kebebasan dan autonomi ke atas Hong Kong.

"Menjelang akhir September, 88,000 orang telah memohon visa di bawah skim ini. Bagi pihak kerajaan, saya mengalu-alukan kedatangan mereka ke United Kingdom (UK)," kata Setiausaha Luar Britain, Liz Truss dalam laporan mengenai Hong Kong yang diterbitkan setiap enam bulan.

Britain sebelum ini meramalkan kira-kira 154,000 warga Hong Kong akan tiba pada tahun pertama, dan sebanyak 322,000 dalam tempoh lima tahun.

Pemohon mesti memegang pasport Kebangsaan British (Luar Negara), yang diberikan kepada warga Hong Kong yang lahir sebelum bandar itu kembali ke pemerintahan China pada 1997, bersama-sama dengan tanggungan mereka.

China mengecam tawaran penempatan semula Britain dan mengumumkan ia tidak lagi mengiktiraf pasport BN(O) sebagai dokumen yang sah.

Hubungan antara Britain dan China menjadi semakin buruk berikutan tindak balas Beijing terhadap protes demokrasi besar-besaran di Hong Kong dua tahun lalu serta dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah Xinjiang di barat China.

Laporan semalam menyatakan China "dalam keadaan berterusan tidak mematuhi tanggungjawab antarabangsanya" ke atas Hong Kong.

"Tindakan undang-undang keselamatan negara digunakan terhadap "semua pembangkang, akhbar bebas dan masyarakat awam.

"Hanya lebih setahun sejak Undang-undang Keselamatan Negara itu digubal, ia membawa jelas membawa kerosakan terhadap cara hidup penduduk Hong Kong," kata laporan itu.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berdepan tekanan untuk melanjutkan skim visa bagi melindungi anak muda Hong Kong yang tidak layak mendapat pasport BN (O).

Sebahagian besar penunjuk perasaan yang turun memprotes di jalan raya pada 2019 adalah daripada generasi muda di bandar itu.

Tinjauan dilaksanakan Pusat Migrasi Universiti Oxford mendapati satu pertiga daripada warga Hong Kong yang mempunyai pasport BN (O) sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Britain.

Berita Harian X