Isnin, 13 Disember 2021 | 4:03pm
Jimmy Lai. - Foto AFP
Jimmy Lai. - Foto AFP

Pemilik media Hong Kong 'berbangga' jika dihukum

HONG KONG: Ahli perniagaan berpengaruh Hong Kong yang dipenjarakan, Jimmy Lai, semalam menegaskan berbangga jika dijatuhkan hukuman, ketika mahkamah bakal menghukumnya bersama sekumpulan aktivis demokrasi.

Lai, 74, yang juga pemilik akhbar prodemokrasi yang kini ditutup, Apple Daily, didapati bersalah kerana menyertai himpunan haram bersama bekas wartawan, Gwyneth Ho dan peguam hak asasi terkemuka, Chow Hang-tung, minggu lalu.

Beliau adalah antara lapan aktivis yang dijatuhkan hukuman, semalam.

Ia mengakhiri perbicaraan panjang membabitkan 24 individu yang menyertai himpunan haram tahun lalu, dan berjalan ketika pihak berkuasa Hong Kong meningkatkan tindakan bagi menghalang majlis memperingati penunjuk perasaan prodemokrasi yang dibunuh askar China pada 1989.

Aktivis itu adalah antara ribuan penduduk yang melanggar arahan polis yang melarang himpunan di Victoria Park, Hong Kong pada 4 Jun tahun lalu.

Beberapa individu yang hadir memberikan ucapan dan temu bual bersama wartawan serta menggesa warga Hong Kong menyalakan lilin walau di mana mereka berada.

Individu lain seperti Lai, hanya hadir ke acara itu dan menyalakan lilin, satu tindakan yang disifatkan hakim, Amanda Woodcock sebagai 'menghasut' orang ramai menyertai himpunan haram, atas faktor beliau dikenali ramai.

Ketika perbicaraan semalam, peguam Lai, Robert Pang, membacakan surat yang ditulis anak guamnya di dalam penjara, yang kemudian diserahkan kepada wartawan.

"Jika memperingati mereka yang meninggal dunia kerana ketidakadilan adalah jenayah, maka sabitkanlah kesalahan itu dan biarlah saya menanggung hukuman bagi jenayah ini, supaya saya dapat berkongsi beban dan kebanggaan anak muda yang menumpahkan darah pada tanggal 4 Jun.

"Ingatlah pada mereka yang menumpahkan darah, jangan dikenang mereka yang kejam… semoga kuasa cinta dan kasih sayang mengatasi kuasa kemusnahan," katanya dalam surat itu. - AFP

Berita Harian X