Isnin, 13 Disember 2021 | 7:40am
Majlis pengebumian seorang anggota Hamas, Hamza Ibrahim Shahin, di kem pelarian Palestin Burj al-Shemali dekat Lubnan divemari kes tembakan yang menyaksikan tiga anggota Hamas terbunuh. - Foto AFP
Majlis pengebumian seorang anggota Hamas, Hamza Ibrahim Shahin, di kem pelarian Palestin Burj al-Shemali dekat Lubnan divemari kes tembakan yang menyaksikan tiga anggota Hamas terbunuh. - Foto AFP

3 anggota Hamas maut ditembak di kem Palestin Lubnan

BEIRUT: Tiga anggota Hamas mati ditembak ketika majlis pengebumian seorang anggota gerakan Islam itu kem pelarian Palestin Lubnan selatan.

Pegawai Hamas, Raafat al-Murra, berkata militan musuh dari gerakan Fatah melepaskan tembakan di majlis pengebumian seorang warga Palestin yang terbunuh dalam letupan di kem Burj al-Shemali, di luar pelabuhan bandar Tyre, Jumaat lalu.

Katanya, enam orang cedera dalam kejadian itu.

Perselisihan antara Hamas dan Fatah, parti sekular yang dipimpin Mahmud Abbas, berlaku sejak 2007 apabila Hamas merampas Gaza selepas seminggu pertempuran yang mengorbankan nyawa.

Seorang pegawai dari pasukan keselamatan yang bersekutu dengan Fatah di kem itu, Talal al-Abed Kassem, berkata penembak terbabit bukan anggota pergerakan Fatah atau pasukan keselamatan, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan.

Tentera Lubnan berkata, pegawai keselamatan Palestin sudah menyerahkan seorang lelaki Palestin yang didakwa melakukan tembakan dan siasatan sudah pun dibuka.

Seorang penduduk di kem itu memberitahu AFP, berlaku pertikaian apabila kumpulan membawa jenazah sampai di tanah perkuburan kem dan tiba-tiba berlaku tembakan ke arah orang ramai.

Namun, katanya, tidak jelas siapa yang menembak dan sasarannya dalam keadaan huru hara itu.

Seorang lagi penduduk berkata, apabila tembakan tercetus, kumpulan yang terbabit dalam pengebumian berundur dan orang ramai melarikan diri.

Katanya, Fatah berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kejadian itu

Hamas, semalam mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin Mahmud.

Katanya, pasukan itu bertanggungjawab secara langsung dalam kejadian yang disifatkan sebagai 'pembunuhan' dan pasukan keselamatan PA di Lubnan serta kepemimpinan di Ramallah 'bertanggungjawab penuh atas jenayah itu'. - AFP

Berita Harian X