Ahad, 12 Disember 2021 | 1:08pm
Jam tangan Hublot direka khusus untuk Maradona yang hilang di Dubai, ditemui di Assam, India. FOTO TWITTER
Jam tangan Hublot direka khusus untuk Maradona yang hilang di Dubai, ditemui di Assam, India. FOTO TWITTER

Jam tangan khas Maradona hilang di Dubai, ditemui di Assam

DUBAI: Polis India menemui semula jam tangan direka khusus untuk lagenda bola sepak Diego Maradona dan menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri jam berkenaan di bandar ini.

Polis menahan suspek, Wazid Hussain, 37, di sebuah kediaman dekat daerah Sivasagar, Assam pada jam 4 pagi semalam hasil maklumat diterima polis Dubai dan menemui jam tangan Hublot buatan Swiss.

Ketua Polis Daerah Sivasagar, Superintendan Rakesh Raushan berkata, operasi memburu dan menahan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat perisikan daripada polis Dubai.

"Kami melancarkan operasi malam kelmarin dan menahan suspek di rumah mentuanya. Kami turut menemui jam tangan Hublot daripada suspek. Siasatan masih dijalankan," katanya.

Suspek dikatakan bertugas sebagai pengawal keselamatan sejak tahun 2016 di sebuah gedung di Dubai, yang menjadi tempat jam tangan terbabit disimpan dan pulang ke Assam pada Ogos lalu.

Polis berkata, jam tangan edisi tunggal bernilai sekitar AS$26,500 itu memiliki foto bintang bolasepak itu di bahagian belakang dan tanda tangan Maradona pada permukaan jam berkenaan berserta nombor 10.

Maradona, salah seorang pemain bolasepak terhebat di dunia, meninggal dunia pada November tahun lalu ketika berusia 60 tahun.

Sementara itu, Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma turut berkata, polis tempatan berjaya menemui dan menahan suspek yang selepas menerima maklumat daripada rakan suspek yang berada di Dubai.

Menerusi ciapan Twitter, Sarma berkata, penahanan itu adalah hasil kerjasama antarabangsa antara Polis Assam dan Polis Dubai bagi mengesan jam warisan Hublot milik lagenda bolasepak Diedo Maradonna.

Katanya, tindakan perundangan akan diteruskan terhadap suspek. - AGENSI

Berita Harian X