Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:25pm
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, tiba bagi menyampaikan ucapan penutup pada Sidang Kemuncak Demokrasi yang diadakan secara maya. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, tiba bagi menyampaikan ucapan penutup pada Sidang Kemuncak Demokrasi yang diadakan secara maya. - Foto AFP

China dakwa AS peralat demokrasi sebagai senjata

BEIJING: China hari ini menyifatkan demokrasi dilaungkan Amerika Syarikat (AS) sebagai 'senjata pemusnah besar-besaran' yang mementingkan manfaat politik peribadi.

Beijing mengkritik penganjuran Sidang Kemuncak Demokrasi oleh AS baru-baru ini kerana hanya menghimpunkan regim autokratik dan sekutu berfikiran sama seperti negara kuasa besar itu.

China disisihkan daripada sidang kemuncak secara maya itu, sama seperti Russia dan Hungary, sekali gus mengundang kemarahan mereka yang menuduh Presiden AS, Joe Biden, cuba cetuskan perpecahan ideologi era Perang Dingin.

Jurucakap Kementerian Luar China berkata demokrasi sudah sekian lama menjadi 'senjata pemusnah besar-besaran' yang digunakan AS untuk mencampuri urusan dalaman negara lain.

Kementerian terbabit turut mendakwa sidang kemuncak anjuran AS itu menggambarkan garis prejudis ideologi, memperalatkan demokrasi dan menghasut perpecahan serta konfrontasi.

Justeru, Beijing berikrar 'menentang semua jenis 'pseudo demokrasi' seumpamanya.

Menjelang sidang kemuncak itu, China melancarkan serangan propaganda yang mengkritik demokrasi AS sebagai dicemari rasuah dan kegagalan.

Sebaliknya, Beijing cuba memupuk 'proses penuh demokrasi rakyat' versi sendiri menerusi kertas putih yang dikeluarkan minggu lalu dengan tujuan meraih sokongan untuk Parti Komunis China, kini semakin mengukuhkan pengaruh Presidennya, Xi Jinping.

Walaupun AS berulang kali menafikan akan berlaku satu lagi Perang Dingin dengan China, ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu sudah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan isu perdagangan dan persaingan teknologi, hak asasi manusia di Xinjiang serta Taiwan.

Perbendaharaan AS semalam mengenakan sekatan terhadap dua pegawai tinggi China atas pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dan menyenarai hitam firma pengawasan AI China, SenseTime, kerana penggunaan teknologi pengecaman muka menyasarkan minoriti Uighur.

Taiwan, sebuah pulau demokrasi dengan pentadbiran sendiri yang dituntut oleh China, dijemput ke sidang kemuncak AS itu.

Bagaimanapun, Beijing mendapat 'rangsangan sokongan' di tengah-tengah sidang kemuncak Biden apabila Nicaragua membatalkan hubungan diplomatik dengan Taiwan dan memaklumkan ia hanya mengiktiraf China.

Pengumuman itu menyebabkan Taiwan kini hanya mempunyai 14 sekutu diplomatik dan sebagai tindak balas, Jabatan Negara AS menggesa 'semua negara yang menghargai institusi demokrasi' untuk mempereratkan hubungan dengan pulau itu. - AFP

Berita Harian X