Khamis, 9 Disember 2021 | 1:14pm
(Gambar fail) Mogul media Hong Kong, Jimmy Lai. - Foto AFP
(Gambar fail) Mogul media Hong Kong, Jimmy Lai. - Foto AFP

Mogul media Hong Kong bersalah sertai perhimpunan haram

HONG KONG: Sebuah mahkamah hari ini memutuskan bahawa mogul media Hong Kong, Jimmy Lai serta dua lagi pejuang demokrasi, bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Tiananmen pada tahun lalu.

Lai, 74, yang juga pemilik syarikat akhbar prodemokrasi Apple Daily yang sudah ditutup kini, disabitkan kesalahan itu bersama bekas wartawan, Gwyneth Ho, dan peguam terkenal, Chow Hang-tung.

Pihak berkuasa telah mendakwa puluhan aktivis dan ahli politik prodemokrasi berhubung perhimpunan berkenaan yang tetap diadakan walaupun dilarang polis, untuk memperingati mangsa peristiwa berdarah di Tiananmen membabitkan Beijing pada 1989.

Bagaimanapun, hanya Lai, Ho serta Hang-tung meminta dibicarakan di mahkamah, dengan mendakwa mereka hadir menyalakan lilin atas kapasiti peribadi dan tidak 'menghasut' orang lain untuk menyertai perhimpunan haram.

Namun Hakim Mahkamah Daerah, Amanda Woodcock, menolak hujah mereka sebagai 'terus-terang mengarut' sebelum memutuskan bahawa ketiga-tiganya bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk menghasut dan menyertai satu perhimpunan haram.

"Realitinya ialah sebarang niat untuk keluar dan menyertai perhimpunan itu di Taman Victoria pada malam kejadian, adalah satu tindakan menentang serta protes terhadap polis," kata Woodcock dalam penghakimannya.

Lai, Ho dan Hang-tung ialah antara puluhan aktivis yang sudah berada di penjara dengan berdepan pendakwaan berasingan bawah undang-undang keselamatan nasional ketat yang dikuatkuasakan Beijing ke atas Hong Kong pada tahun lalu. - AFP

Berita Harian X