Rabu, 8 Disember 2021 | 10:39am
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA

Kes harian COVID-19 Korea Selatan pertama kali lepasi 7,000

SEOUL: Korea Selatan buat julung kali merekodkan kes harian COVID-19 melepasi angka 7,000 pada Rabu, sekali gus meletakkan kapasiti hospital di bawah tekanan berikutan peningkatan kematian dan kes teruk.

Perdana Menteri, Kim Boo-kyum, berkata kerajaan akan menggerakkan kakitangan tambahan bagi memantau pesakit COVID-19 di rumah dan menambah baik sistem pemindahan kecemasan ke hospital bagi mereka yang bergejala teruk.

Klinik swasta juga akan berperanan merawat pesakit COVID-19, sebagai tambahan kepada perkhidmatan ditawarkan di hospital.

Setakat ini, Korea Selatan mengesahkan 36 kes varian Omicron.

Dengan 80 peratus kes direkodkan di Seoul, pihak berkuasa bergelut untuk menyediakan katil mencukupi bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Korea Selatan mengenakan langkah lebih ketat pada Isnin, termasuk mengurangkan bilangan individu di perhimpunan persendirian dan memperluaskan mandat pas vaksin bagi membendung jangkitan COVID-19 dan varian Omicron yang semakin meningkat. - AGENSI

Berita Harian X