Khamis, 2 Disember 2021 | 1:41pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Kenyataan Abe isu Taiwan: Beijing panggil duta Jepun

BEIJING: Beijing memanggil duta Jepun ke China berhubung kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe mengenai Taiwan yang disifatkan tidak tepat, menurut Kementerian Luar hari ini ketika ketegangan meningkat dalam isu pulau berkenaan.

Kementerian Luar memanggil duta Jepun, Hideo Tarumi petang semalam dan memaklumkan kenyataan berkenaan menggambarkan campur tangan ketara membabitkan hal ehwal dalaman China.

"Mengikut sejarah, Jepun melancarkan perang pencerobohan terhadap China, melakukan jenayah kejam terhadap orang Cina.

"Beliau tidak berhak atau mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan tidak bertanggungjawab mengenai isu Taiwan," kata pembantu Menteri Luar China, Hua Chunying dalam satu kenyataan.

Menerusi ucapan video pada forum dianjurkan badan pemikir Taiwan semalam, Abe berkata krisis China dengan dengan Taiwan akan turut membabitkan Jepun.

Beliau memberi amaran penduduk Beijing, terutama Presiden Xi Jinping tidak seharusnya silap menilai perkara itu.

"Pengembaraan ketenteraan akan menjadi laluan yang berupaya membunuh ekonomi," katanya.

Dalam situasi pesawat pejuang China melakukan pencerobohan tahap tinggi dalam sejarah ke dalam zon pertahanan udara Taiwan beberapa bulan kebelakangan ini, kebimbangan dalam kalangan sekutu barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun meningkat.

Antara kemungkinan adalah Beijing boleh mengarahkan pencerobohan, walaupun mereka beranggapan ia mungkin tidak akan dilakukan buat masa ini.

Taiwan yang ditadbir sendiri berada di bawah ancaman tindakan ketenteraan oleh China yang menganggap pulau itu sebagai wilayahnya dan berjanji untuk merampasnya suatu hari nanti.

Awal minggu ini, Pentagon mendedahkan rancangannya untuk mengukuhkan penempatan dan pangkalan yang diarahkan ke China, selain menaik taraf dan mengembangkan kemudahan ketenteraan di Guam dan Australia.

Susulan ketegangan meningkat di antara Beijing dan Washington, Jepun berada dalam kedudukan yang sukar antara dua kuasa dunia itu yang juga rakan perdagangan utama. - AFP

Berita Harian X