Isnin, 29 November 2021 | 8:22am
Delegasi Taliban ketika mengadakan pertemuan dengan diplomat asing di Doha pada 12 Oktober 2021. - Foto AFP
Delegasi Taliban ketika mengadakan pertemuan dengan diplomat asing di Doha pada 12 Oktober 2021. - Foto AFP

Taliban minta bantuan EU pastikan lapangan terbang beroperasi

BRUSSELS: Taliban meminta bantuan untuk memastikan lapangan terbang Afghanistan berjalan, menurut satu kenyataan Kesatuan Eropah (EU) lewat semalam.

Ia dinyatakan dalam rundingan hujung minggu dengan pegawai EU yang juga menimbulkan 'kebimbangan besar' mengenai situasi kemanusiaan di negara itu.

Kedua-dua pihak menghantar pegawai kanan ke ibu negara Qatar, Doha untuk rundingan, yang berlaku sejurus sebelum rundingan dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban yang akan bermula hari ini, juga di Doha.

Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS) EU dalam kenyataan berkata, 'dialog itu tidak membayangkan pengiktirafan oleh EU terhadap kerajaan sementara (Taliban) tetapi adalah sebahagian daripada pembabitan operasi EU, demi kepentingan EU dan rakyat Afghanistan'.

Delegasi Taliban diketuai oleh menteri luar sementara, Amir Khan Mutaqqi, diiringi oleh menteri sementara bagi pendidikan dan kesihatan, pemangku gabenor bank pusat, dan pegawai dari kementerian luar negeri, kewangan dan dalam negeri serta direktorat perisikan.

Pihak EU diketuai oleh utusan khas EU untuk Afghanistan Tomas Niklasson, dengan pegawai dari EEAS dan perkhidmatan Suruhanjaya Eropah (EC) yang mengendalikan bantuan kemanusiaan, perkongsian antarabangsa dan migrasi.

Menurut kenyataan EU, Taliban berikrar untuk berpegang pada janji 'pengampunan' untuk rakyat Afghanistan yang telah menentangnya selama dua dekad pemerintahan berorientasikan Barat sehingga pemindahan keluar oleh AS dan sekutunya secara tergesa-gesa pada Ogos lalu.

Pihak Taliban juga komited semula untuk membenarkan warga Afghanistan dan warga asing meninggalkan negara itu jika mereka mahu, tetapi 'meminta bantuan untuk mengekalkan operasi lapangan terbang' supaya perkara itu boleh berlaku.

"Kedua-dua pihak menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai keadaan kemanusiaan yang semakin teruk di Afghanistan apabila musim sejuk tiba," kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa EU akan terus membekalkan bantuan kemanusiaan.

Pihak EU mendesak Taliban untuk mewujudkan 'kerajaan inklusif', memupuk demokrasi, memastikan kanak-kanak perempuan mendapat akses yang sama kepada persekolahan, dan menghalang Afghanistan menjadi pangkalan bagi mana-mana kumpulan 'yang mengancam keselamatan orang lain'.

Ia juga mencadangkan bahawa, jika Taliban memenuhi syarat EU, itu boleh membuka kunci pembiayaan tambahan untuk pemerintah baru Afghanistan yang kekurangan wang tetapi hanya 'untuk faedah langsung rakyat Afghanistan'.

Taliban mengulangi bahawa mereka akan menegakkan hak asasi manusia 'selaras dengan prinsip Islam' dan akan mengalu-alukan kembali misi diplomatik yang telah ditutup, menurut kenyataan itu. - AFP

Berita Harian X