Khamis, 25 November 2021 | 10:58am
Cuaca sejuk melampau menyebabkan kawasan tertentu di Arab Saudi dilanda salji. - Foto AGENSI
Cuaca sejuk melampau menyebabkan kawasan tertentu di Arab Saudi dilanda salji. - Foto AGENSI

Beberapa wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji

RIYADH: Beberapa wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji, sebahagian besarnya di Qurayyat, di mana penurunan suhu ketara dicatatkan sejak Ahad lalu.

Pakar cuaca, penyelidik astronomi dan ahli meteorologi Arab Saudi, Dr Khaled Al-Zaqaq, menerusi ciapan di Twitternya, menjangkakan ia hanya permulaan.

"Ini adalah peringkat awal dengan kesejukan sederhana dan basah, berakhir dengan musim sejuk sebenar yang akan bermula dalam tempoh beberapa hari.

"Paling sejuk tahun ini, iaitu selepas 30 hari yang paling sejuk dalam setahun di Arab Saudi , kita mengalami musim sejuk Al-Azraq, yang boleh menjadikan badan bertukar biru akibat kesejukan melampau," katanya.

Peristiwa menarik itu dijangka Pusat Meteorologi Kebangsaan dalam laporannya, yang turut meramalkan ribut petir disertai angin dan hujan batu di kawasan Al-Jawf, sempadan utara, Tabuk, hingga ke bahagian pantai wilayah Madinah.

Angin permukaan juga dijangka aktif di Teluk Arab, dengan pembentukan kabus di Asir, Al Baha, Makkah dan Madinah.

Sementara itu, The National News melaporkan, Hafar Al Batin, sebuah kawasan di wilayah timur dilanda hujan pada Isnin lalu, sehari selepas hujan ais dan hujan lebat di Riyadh.

Ribut petir, hujan dan hujan ais juga dialami di Qurayyat berhampiran Turaif di wilayah sempadan utara. - AGENSI

Berita Harian X