Isnin, 22 November 2021 | 1:59pm
Pengarah Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania, Eric Huang (tiga kiri) bergambar bersama kakitangannya di hadapan pejabat di Vilnius. - Foto AFP
Pengarah Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania, Eric Huang (tiga kiri) bergambar bersama kakitangannya di hadapan pejabat di Vilnius. - Foto AFP

China renggangkan hubungan diplomatik dengan Lithuania

BEIJING: China secara rasmi merenggangkan hubungan diplomatik dengan Lithuania selepas Taiwan menubuhkan kedutaan de facto di Vilnius.

Menurut Kementerian Luar di Beijing, China membantah sebarang penggunaan rasmi perkataan 'Taiwan' sekiranya ia memberikan legitimasi antarabangsa kepada pulau itu, yang dianggap sebahagian daripada wilayah Beijing yang akan diambil satu hari nanti.

"Kerajaan China terpaksa merenggangkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara untuk menjaga kedaulatannya dan norma asas hubungan antarabangsa.

"Kerajaan Lithuania mesti menanggung semua akibat yang timbul daripada ini kerana telah meninggalkan komitmen politik yang dibuat apabila menjalin hubungan diplomatik dengan China," menurut kenyataan kementerian itu.

Kementerian Luar Lithuania menyatakan kekesalan dengan keputusan China dan menegaskan pematuhannya kepada dasar 'Satu China' selain mempunyai hak untuk mengembangkan kerjasama dengan Taiwan.

Perdana Menteri Lithuania, Ingrida Simonyte menegaskan bahawa pejabat Taiwan di Vilnius tidak mempunyai status diplomatik.

"Hakikatnya Lithuania mahu mempergiatkan hubungan ekonomi, budaya atau saintifik dengan Taiwan yang diumumkan dalam program kerajaan kita, jadi langkah ini tidak sepatutnya mengejutkan," katanya.

Taiwan mengumumkan pada Julai lalu bahawa ia akan membuka pejabat diplomatik baharunya yang pertama di Eropah dalam tempoh 18 tahun.

Itu menyebabkan teguran hebat dari China dengan menarik balik dutanya dari Lithuania dan menuntut Vilnius melakukan perkara yang sama.

China juga menghentikan kereta api barang ke Lithuania dan berhenti mengeluarkan permit eksport makanan. - AFP

Berita Harian X