Ahad, 21 November 2021 | 1:20pm
Pengarah Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania, Eric Huang (tiga kiri) bergambar bersama kakitangannya di hadapan pejabat di Vilnius. - Foto AFP
Pengarah Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania, Eric Huang (tiga kiri) bergambar bersama kakitangannya di hadapan pejabat di Vilnius. - Foto AFP

China turun taraf hubungan diplomatik dengan Lithuania

BEIJING: China secara rasminya melaksanakan penurunan taraf hubungan diplomatik dengan Lithuania ke tahap 'charge d'affaires' (wakil diplomatik), kata Kementerian Hubungan Luar, hari ini.

Ia sebagai tanda protes selepas Taiwan membuka pejabat kedutaannya di Vilnius.

Lithuania sebelum ini membenarkan Taipei membuka secara rasmi pejabat kedutaannya menggunakan nama Taiwan sendiri, bertentangan dengan kempen Beijing bagi menekan negara itu supaya terpinggir dalam hubungan antarabangsa.

"Kerajaan China terpaksa menurunkan tahap hubungan diplomatik antara kedua-dua negara... demi menjaga kedaulatannya dan norma asas hubungan antarabangsa

"Kerajaan Lithuania perlu menghadapi kesan yang timbul," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

China membantah mana-mana penggunaan rasmi perkataan 'Taiwan' supaya tiada legitimasi antarabangsa terhadap pulau yang diperintah sendiri itu namun didakwa sebagai wilayahnya dan akan dirampas pada suatu hari nanti.

Beijing turut berkata, Lithuania sudah 'meninggalkan komitmen hubungan diplomatik' dengan China, dengan merujuk dasar 'Satu China' yang mengiktiraf kerajaan China berbanding Taiwan.

Pembukaan pejabat perwakilan pada Julai lalu, adalah pos diplomatik pertama Taiwan di Eropah dalam tempoh 18 tahun.

Langkah itu menyebabkan teguran keras oleh China yang memanggil pulang duta ke Lithuania dan menuntut Vilnius membuat tindakan sama. Negara itu akhirnya akur.

China turut menghentikan kereta api barang ke Lithuania malah berhenti mengeluarkan permit eksport makanan. - AFP

Berita Harian X