Selasa, 12 Oktober 2021 | 9:35am
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP

Pemimpin Korea Utara dakwa AS 'punca' ketegangan

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un hari ini menyalahkan Amerika Syarikat (AS) sebagai punca ketegangan di semenanjung Korea, ketika berucap pada perasmian pembukaan pameran pertahanan, menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pyongyang dikenakan banyak sekatan antarabangsa berikutan larangan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya, yang melalui perkembangan pesat di bawah pentadbiran Jong Un.

Pada 2017, Korea Utara menguji peluru berpandu jarak jauh yang berupaya menjangkaui seluruh benua AS serta melakukan letupan nuklear paling kuat dengan Pyongyang menyatakan, pihaknya memerlukan senjata untuk mempertahankan negara daripada serangan AS.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden berulang kali menyatakan, ia tidak mempunyai niat memusuhi Korea Utara.

Namun, Jong Un pada pameran 'Self-Defence 2021' menyatakan beliau sangat ingin tahu jika kenyataan AS itu dipercayai orang atau negara lain.

"Tidak ada asas untuk percaya tindakan mereka itu tidak bermusuhan," katanya menurut KCNA.

Ucapan itu disuarakan selepas Korea Utara beberapa minggu kebelakangan ini menguji peluru berpandu jarak jauh yang dikatakan senjata hipersonik.

Pada 2018, Jong Un menjadi pemimpin Korea Utara pertama bertemu Presiden AS ketika sidang kemuncak di Singapura.

Bagaimanapun, proses rundingan terhenti sejak pertemuan kedua di Hanoi pada tahun berikutnya susulan sekatan dikenakan tidak ditarik balik dan mengenai apa yang sanggup diberikan Pyongyang sebagai timbal balik.

Sementara itu, pentadbiran Biden menyatakan kesediaan bertemu pegawai Korea Utara pada bila-bila masa atau tempat, tanpa prasyarat, dalam usaha mencari denuklearisasi.

Washington dan Seoul adalah sekutu keselamatan yang mana Washington menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan sebagai pertahanan susulan serangan yang pernah berlaku pada 1950. - AFP

Berita Harian X