Rabu, 14 Julai 2021 | 3:59pm
Jong Un menolak permintaan AS terhadap rundingan pelucutan senjata nuklear, yang dapat memberikan pelepasan dari sekatan yang menggugat Korea Utara. - Foto AFP
Jong Un menolak permintaan AS terhadap rundingan pelucutan senjata nuklear, yang dapat memberikan pelepasan dari sekatan yang menggugat Korea Utara. - Foto AFP

Korea Utara berdepan masalah kekurangan makanan terburuk

SEOUL: Korea Utara menghadapi masalah kekurangan makanan, situasi terburuk dialami sejak lebih sedekad, menurut satu laporan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan itu memaklumkan Pyongyang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran domestik terbesarnya sejak pemimpin, Kim Jong Un mengambilalih kuasa.

Pengeluaran makanan turun ke tahap terendah pada 2018 ekoran bencana alam dan daya tahan yang lemah, bahan pertanian tidak mencukupi dan tahap mekanisasi rendah," menurut negara itu dalam Kajian Sukarela Nasional (VNR) kepada PBB.

Misi Korea Selatan ke PBB memberi notis mengenai laporan itu semalam dan ia adalah kali pertama Korea Utara melaporkannya.

Pyongyang juga menyalahkan sekatan dikenakan Majlis Keselamatan PBB dalam isu ujian senjata nuklear dan peluru berpandu sebagai punca kepada masalah dihadapinya.

"Rintangan utama usaha pemerintah untuk mencapai pembangunan negara yang mampan termasuk sekatan yang berterusan terhadap Korea Utara," menurut laporan itu.

Laporan itu muncul selepas Jong Un muncul di media pemerintah bulan lalu dan mengeluarkan peringatan yang jarang dinyatakannya bahawa keadaan makanan di negara itu semakin membimbangkan.

Peringatan itu hadir pada ketika stok makanan setiap tahun biasanya hampir habis dan sebahagian besar hasil pengeluaran belum diperoleh.

Kekurangan makanan Korea Utara menjadi lebih teruk ekoran taufan tahun lalu yang memusnahkan tanaman dan keputusan Jong Un untuk menutup sempadan kerana COVID-19, menghalang kemasukan perdagangan yang dimilikinya.

Menurut Program Makanan Dunia PBB, sekitar 40 peratus populasi Korea Utara mengalami kekurangan zat makanan, keselamatan makanan yang rendah dan kekurangan zat makanan pula semakin berleluasa.

Ekonomi Korea Utara hampir tidak akan berkembang tahun ini selepas penguncupan terburuk dalam beberapa dekad ketika negara itu terus berjuang dengan wabak, sekatan dan kurangnya perdagangan dengan China, kata Fitch Solutions pada April.

Jong Un menolak permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan rundingan pelucutan senjata nuklear, yang dapat memberikan pelepasan dari sekatan yang menggugat ekonominya.

Beliau kelihatannya fokus untuk menangani masalah dalaman negaranya untuk sementara waktu daripada mencetuskan ketegangan wilayah melalui gerakan ketenteraan yang provokatif, kata Menteri Pertahanan Korea Selatan, Suh Wook kepada Parlimen bulan lalu.

Propaganda Pyongyang juga sudah mula disebarkan, apabila menunjukkan seorang warganegaranya menyatakan penduduk Korea Utara sedih melihat Jong Un semakin kurus.

Komen yang jarang berlaku mengenai tahap kesihatan pemimpin itu mungkin bertujuan untuk meraih sokongan di negaranya bagi menggambarkan Jong Un bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negaranya. - BLOOMBERG

Berita Harian X