Jumaat, 19 Februari 2021 | 7:20am
Kadet tentera wanita Afghanistan berlatih di Chennai, India, semalam. - Foto AFP
Kadet tentera wanita Afghanistan berlatih di Chennai, India, semalam. - Foto AFP

NATO belum putuskan sama ada kekal tentera di Afghanistan

BRUSSELS: Ketua Setiausaha Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, berkata pakatan itu belum membuat keputusan muktamad mengenai masa depan misinya di Afghanistan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sedang mempertimbang hasrat untuk menarik tentera negara itu.

Ketika Menteri Pertahanan NATO menangguhkan keputusan itu dalam persidangan maya yang berlangsung dua hari, mereka memutuskan untuk memperluas misi latihan NATO di Iraq dengan mengerahkan dari 500 kepada 4,000 anggota tentera.

Masa depan misi disokong NATO yang memiliki seramai 9,600 anggota tentera di Afghanistan, antara agenda utama selepas bekas Presiden AS, Donald Trump memeterai perjanjian dengan Taliban untuk menarik keluar tentera.

Pentadbiran Biden pula sedang mengkaji sama ada pada tarikh akhir 1 Mei untuk menarik balik baki 2,500 tentera AS, atau berisiko untuk bertempur akibat serangan pemberontak, jika kekal.

"Kami menghadapi banyak dilema dan tidak ada pilihan yang mudah. Pada peringkat ini, kami belum membuat keputusan akhir mengenai masa depan kehadiran kami.

"Tetapi menjelang tarikh akhir pada 1 Mei yang kian hampir, sekutu NATO akan terus berunding dan menyelaras secara dekat dalam beberapa minggu akan datang," kata Stoltenberg pada sidang media.

Stoltenberg menegaskan, Taliban harus memenuhi komitmen di bawah perjanjian dengan AS, termasuk melakukan kemajuan dalam rundingan damai dengan Kabul, mengurangkan keganasan dan memutuskan hubungan kumpulan pengganas antarabangsa.

"Matlamat NATO untuk memastikan Afghanistan tidak lagi menjadi tempat selamat bagi pengganas yang bakal menyerang tanah air kita," katanya.

Taliban melancarkan serangan yang mengancam sekurang-kurangnya dua ibu kota wilayah dan memberi peringatan kepada menteri NATO, supaya tidak lagi mencari ruang meneruskan penjajahan dan peperangan dengan cara kekal di negara itu.

"Perlindungan tentera kami kekal mustahak dan kami akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menjaga keselamatan mereka," kata Stoltenberg.

Pada pihak sekutu pula, mereka sedang cemas menunggu keputusan selanjutnya daripada Biden sama ada bakal mengakhiri tempoh selama dua dekad di Afghanistan.

Mereka menyatakan kesediaan untuk kekal, jika AS memutuskan hal sama.

Pada Januari lalu, Trump mengurangkan jumlah tenteranya di Afghanistan kepada 2,500 dari hampir 13,000 anggota pada tahun sebelumnya. Anggota NATO yang lain bergantung pada kemampuan AS untuk meneruskan misi.

Menurut pegawai AS, Setiausaha Pertahanan baharu, Lloyd Austin, menunjukkan minat untuk menghidupkan kembali hubungan, selepas bertahun-tahun tegang di bawah pentadibran Trump, termasuk akan mendengar dan menyampaikan input negara sekutu kepada Biden.

Berita Harian X