Selasa, 2 Februari 2021 | 7:20pm
Gambar fail menunjukkan Perbadanan Nuklear Kebangsaan China. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Perbadanan Nuklear Kebangsaan China. - Foto AFP

China sedia kongsi teknologi nuklear dengan negara lain

BEIJING: China akan terus mempromosi kerjasama antarabangsa dan sedia berkongsi kepakaran dalam pembangunan teknologi nuklear secara aman.

Tawaran itu dibuat berikutan pembangunan reaktor nuklear generasi ketiga, Hualong One, yang memulakan operasi komersial membekalkan tenaga elektrik kelmarin.

Ketua Pereka Hualong One, Xing Ji, dalam temu bual eksklusif bersama Xinhua kelmarin, berkata reaktor generasi ketiga buatan tempatan sepenuhnya itu ditempatkan di Unit No 5 di bandar Fuqing di wilayah Fujian.

"Kami sedia berkongsi teknologi Hualong dengan negara lain di seluruh dunia, termasuk komponen utama, melatih kakitangan dan berkongsi pengalaman mereka menerusi kerjasama pemindahan teknologi pada peringkat global.

"Kami juga menjangkakan kerjasama lebih luas bersama negara lain untuk membangunkan teknologi baharu dalam tenaga nuklear," katanya yang juga Ketua Jurutera Syarikat Kejuruteraan Tenaga Nuklear China.

China giat menyertai pertubuhan antarabangsa dalam bidang tenaga nuklear, seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, bagi mempromosi pertukaran teknologi antarabangsa.

Negara itu turut memainkan peranan penting dalam eksperimen pelakuran nuklear terbesar dunia dikenali sebagai ITER dan bekerjasama dengan negara lain untuk mengatasi cabaran berkaitan isu berkenaan.

Hualong One, yang memiliki 716 paten kebangsaan, 65 paten antarabangsa, lebih 200 tanda dagangan antarabangsa dan 125 hak cipta perisian, adalah model tempatan China bagi reaktor generasi ketiga yang lebih selamat lagi cekap.

Ia memiliki jangka hayat selama 60 tahun dan menepati standard keselamatan paling ketat di dunia.

Teras reaktor Hualong One mengandungi gabungan 177 bahan api manakala rekaannya boleh meningkatkan tenaga dan menjadikannya lebih selamat.

Menurut Xing, Hualong One direka untuk mampu bertahan gegaran gempa bumi berkekuatan sembilan pada skala Richter.

Ia juga berupaya mengelakkan kebocoran nuklear dan dapat beroperasi kembali dengan pantas sekiranya berlaku bencana alam seperti gempa bumi bersama tsunami yang melanda loji nuklear Fukushima di Jepun.

China memberi komitmen untuk pengurangan pelepasan karbon menjelang 2030 dan mencapai status karbon neutral sebelum 2060 dengan meningkatkan pergantungan kepada alternatif seperti tenaga nuklear. - AGENSI

Berita Harian X