Jumaat, 15 Januari 2021 | 8:29pm
Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) ditahan di Malaysia berhubung pertikaian undang-undang antara syarikat penerbangan itu dan pihak lain. - Foto AFP
Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) ditahan di Malaysia berhubung pertikaian undang-undang antara syarikat penerbangan itu dan pihak lain. - Foto AFP

Pesawat PIA ditahan pihak berkuasa Malaysia berhubung kes mahkamah

ISLAMABAD: Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) ditahan di Malaysia berhubung pertikaian undang-undang antara syarikat penerbangan itu dan pihak lain, menurut syarikat penerbangan itu hari ini.

Dalam satu kenyataan disiarkan di Twitter, syarikat penerbangan itu berkata, sebuah pesawat PIA ditahan oleh mahkamah tempatan di Malaysia dengan mengambil keputusan sepihak mengenai pertikaian hukum antara PIA dan pihak lain yang sedang menunggu keputusan di mahkamah United Kingdom (UK).

"Penumpang pesawat dijaga dengan baik dan sedang diatur untuk perjalanan alternatif mereka yang sudah dimuktamadkan.

"Ini adalah situasi yang tidak dapat diterima dan PIA sudah mendapatkan sokongan dari kerajaan Pakistan untuk menangani perkara ini menggunakan saluran diplomatik," menurut kenyataan itu.

Mengulas mengenai pertikaian undang-undang, jurucakap PIA, Abdullah Hafeez Khan, berkata itu adalah "sengketa pembayaran antara pihaknya dan pihak Perigreen" yang sudah diajukan di mahkamah UK sekitar enam bulan lalu.

Begitupun, jurucakap itu enggan memberikan perincian lebih lanjut mengenai perselisihan berkenaan sambil menambah bahawa pengadilan Malaysia mengambil "keputusan ex-parte yang menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang yang sudah menaiki pesawat'"

Dalam maklum balas mengenai isu itu, jurucakap Pejabat Luar Negeri, Zahid Hafeez Chaudhri, berkata bahawa Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia sedang berhubungan rapat dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan dengan PIA untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin.

"Sementara itu, penumpang dijaga dengan baik dan sedang diatur untuk perjalanan alternatif mereka ke Pakistan yang sudah dimuktamadkan," katanya sambil menambah bahawa mereka akan berlepas dari Kuala Lumpur dengan penerbangan Emirates EK-343 malam ini. - AGENSI

Berita Harian X