Rabu, 6 Januari 2021 | 7:54am
Kapal pemusnah tentera laut Korea Selatan, ROKS Choi Young, yang berada di Teluk Arab. - Foto AFP
Kapal pemusnah tentera laut Korea Selatan, ROKS Choi Young, yang berada di Teluk Arab. - Foto AFP

Kapal pemusnah Korea Selatan tiba di perairan berhampiran Iran

SEOUL: Korea Selatan akan menghantar delegasi ke Iran bagi merundingkan pembebasan kapal tangki minyak dan anak kapal.

Walaupun kapal pemusnah Korea Selatan membawa unit anti lanun semalam tiba di perairan Teluk Arab berdekatan Selat Hormuz, Seoul berharap isu itu daat diselesaikan secara diplomatik.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Isnin lalu berkata mereka merampas Hankuk Chemi yang mengibarkan bendera Korea Selatan, membawa 7,200 tan bahan kimia kerana melanggar undang-undang alam sekitar maritim.

Kementerian Pertahanan Seoul berkata kapal pemusnah bersama unit anti lanun miliknya itu sedang 'menjalankan misi untuk memastikan keselamatan warga negaranya', tanpa memberikan butiran lanjut.

Seoul berkata, kapal perang Cheonghae yang membawa 300 anggota sudah berada di wilayah itu sejak akhir tahun lalu dan tidak akan melakukan operasi ofensif.

"Isu ini harus diselesaikan melalui diplomasi, unit ini menumpukan kepada keselamatan warga kita yang menggunakan laluan laut ini selepas rampasan kapal berlaku," katanya.

Jurucakap Kementerian Luar, Choi Young-sam pula dilaporkan berkata, delegasi kerajaan akan 'dihantar ke Iran secepat mungkin untuk cuba menyelesaikan masalah berkenaan melalui rundingan dua hala'.

Krew yang ditangkap berasal dari Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, dan Myanmar, kata Pengawal Revolusi Iran di laman sesawangnya, Sepahnews, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Amerika Syarikat (AS) pada Ahad ;a;u membatalkan keputusan untuk membawa kapal perang pengangkut USS Nimitz pulang dari Teluk Arab, dengan Pentagon menyatakan wujud 'ancaman baru daripada Iran'.

Kelmarin, Iran menyatakan negaranya sudah memulakan proses untuk memperkayakan uranium hingga 20 peratus keaslian, sekali gus menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap program nuklear negara itu.

Dalam pada itu, wakil menteri luar Korea Selatan, Choi Jong-kun, akan meneruskan lawatan tiga hari ke Teheran yang sudah lama dirancangkan, awal minggu depan.

Kunjungan itu sudah diatur sebelum rampasan kapal berkenaan, ketika Teheran meminta pelepasan berbilion dolar milik Iran yang ditahan di Seoul di bawah sekatan AS.

Menurut gabenor bank pusat Iran, Abdolnasser Hemmati, negara itu memiliki 'deposit AS$7 bilion (RM28.12 bilion) di Korea Selatan' yang tidak dapat 'dipindahkan atau beroleh pulangan, malah Iran diminta menanggung 'kos menyimpan' dana itu.

Menteri luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha, bagaimanapun tidak mengulas spekulasi bahawa Iran merampas kapal itu dalam usaha untuk menekan Seoul melepaskan aset Iran yang ditahan.

"Kita perlu mengesahkan fakta terlebih dulu dan memastikan keselamatan anak kapal kita.

"Kami melakukan usaha diplomatik untuk pembebasan awal," kata Kyung-wha kepada wartawan. - AFP

Berita Harian X