Rabu, 9 Disember 2020 | 8:22pm
Kim Yo-jong. - Foto EPA
Kim Yo-jong. - Foto EPA

COVID-19: Adik Jong-un selar menteri Korea Selatan

SEOUL: Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menyelar menteri luar Korea Selatan dengan menyifatkannya sebagai 'biadab' kerana mempertikaikan dakwaan Pyongyang bahawa negara itu bebas COVID-19.

Kim Yo-jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara itu yang juga penasihat utamanya, membidas Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha, dalam satu kenyataan yang dilaporkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menuduh Menteri Luar Korea Selatan itu mahu mengeruhkan hubungan kedua-dua negara yang sedia tegang.

"Ia boleh dilihat menerusi kenyataan membuta tuli tanpa mengambil kira kesannya apabila dia tidak sabar-sabar memburukkan lagi hubungan antara Korea Utara dan Selatan.

"Kami tidak akan lupakan dakwaannya dan dia mungkin perlu membayar dengan harga yang mahal," kata Yo-jong.

Dalam satu forum di Bahrain Sabtu lalu, Kyung-wha berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa Korea Utara tidak mencatatkan sebarang kes coronavirus.

Beliau juga mendakwa Pyongyang tidak memberi maklum balas terhadap tawaran Korea Selatan untuk membantu mengatasi penyakit itu.

Kyung-wha turut menyifatkan pandemik itu membuatkan Korea Utara yang sememangnya mengamalkan dasar 'tirai besi', menjadi lebih tertutup.

"Semua petanda menunjukkan rejim itu sangat tertumpu untuk mengawal propaganda mengenai penyakit itu dengan mendakwa tiada kes jangkitan di Korea Utara," katanya.

Pyongyang yang juga kuasa nuklear, menutup sempadannya sejak Januari lalu dan mengasingkan negara itu daripada dunia luar dalam usaha mengelak jangkitan serta mendakwa tidak merekodkan sebarang kes virus itu.

Jong-un turut mengulangi dakwaan itu pada satu perarakan tentera besar-besaran Oktober lalu.

Bagaimanapun, beberapa pakar menganggap dakwaan itu tidak mungkin benar, memandangkan virus itu mula dikesan di negara jirannya, China, yang juga rakan dagangan dan pemberi bantuan utama Korea Utara. - AFP

Berita Harian X