Isnin, 2 November 2020 | 8:02pm
Lebih 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan terbesar di Bangladesh anjuran Kumpulan Hefazat-i-Islami bagi membantah tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan hak menerbitkan kartun Nabi Muhammad. - Foto EPA
Lebih 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan terbesar di Bangladesh anjuran Kumpulan Hefazat-i-Islami bagi membantah tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan hak menerbitkan kartun Nabi Muhammad. - Foto EPA

Lebih 50,000 orang protes Macron di Bangladesh

DHAKA: Lebih 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan terbesar di Bangladesh hari ini, membantah tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan hak menerbitkan kartun Nabi Muhammad.

Perarakan itu bermula di masjid terbesar Bangladesh, namun dihentikan dari menghampiri kedutaan Perancis, di mana pasukan keselamatan ditugaskan mengawal susulan ketegangan memuncak berpunca kenyataan dibuat Marcon.

Perarakan sepanjang dua kilometer (km) dan peserta perhimpunan dilihat mengabaikan penjarakan sosial bagi mengekang penularan COVID-19 membawa patung Macron, karikatur dan keranda khas untuk presiden Perancis itu.

Polis menganggarkan sekitar 50,000 peserta hadir dalam tunjuk perasaan anti Perancis ketiga terbesar pada minggu lalu, tetapi pihak penganjur mendakwa lebih 100,000 orang hadir.

Penunjuk perasaan melaungkan 'kami semua adalah tentera nabi', 'kami tidak takut peluru atau bom' dan 'Macron, anda dalam bahaya'.

Mereka membakar patung menyerupai pemimpin Perancis itu.

Polis memasang dawai penghadang merentasi jalan utama untuk menghentikan penunjuk perasaan menghampiri kawasan kedutaan di Dhaka dan perarakan itu bersurai tanpa mencetuskan masalah.

Tunjuk perasaan banyak berlangsung di negara majoriti umat Islam selepas Macron mempertahankan undang-undang kebebasan bersuara Perancis ketika berlaku pembunuhan seorang guru yang bertindak menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelasnya.

Dalam Islam, agama melarang sebarang gambaran Nabi Muhammad.

Di Indonesia, sekitar 3,000 orang menyertai tunjuk perasaan hari ini, di luar Kedutaan Perancis di Jakarta, menurut polis.

Penunjuk perasaan membakar gambar Macron dan mengangkat plakad memaparkan wajah Macron dipenuhi tapak kasut serta menggambarkan pemimpin Perancis itu dengan tanduk syaitan.

Dalam tunjuk perasaan yang berlangsung di Bangladesh hari ini, ia dianjurkan kumpulan Hefazat-i-Islami, iaitu antara puak radikal politik Islam terbesar di negara berpopulasi 168 juta orang.

Sementara itu, timbalan ketua Hezafat, Junaid Babunagara menggesa Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina untuk mengutuk Macron di Parlimen negara itu. - AFP

Berita Harian X