Khamis, 29 Oktober 2020 | 9:33am
Rakyat Iran memegang gambar pemimpin agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, ketika mengadakan bantahan susulan kenyataan Presiden Perancis mempertahankan nilai sekular dan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW, di luar Kedutaan Perancis di Tehran, semalam. - FOTO AFP

Khamenei bidas tindakan Macron sebagai 'perbuatan bodoh'

TEHRAN: Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, membidas tindakan Emmanuel Macron mempertahankan kartun menggambarkan Nabi Muhammad SAW, sebagai 'perbuatan bodoh' serta 'penghinaan' kepada pengundi Presiden Perancis itu.

"Tanya Presiden anda, mengapa beliau menyokong penghinaan terhadap utusan Tuhan atas alasan kebebasan bersuara.

"Adakah kebebasan bersuara bermaksud menghina, terutama seorang insan yang suci dan mulia?

"Bukankah tindakan bodoh ini satu penghinaan kepada orang yang telah mengundinya?" kata Khamenei dalam satu perutusan kepada 'belia Perancis' menerusi laman web beliau.

Macron berkeras mempertahankan nilai sekular dan hak untuk mempersendakan agama berikutan pembunuhan seorang guru Perancis yang menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Dalam perutusan itu, Khamenei terus menyelar dengan beberapa lagi soalan pedas.

"Soalan seterusnya ialah mengapakah ia menjadi suatu jenayah untuk menimbulkan keraguan mengenai 'holocaust'?

"Mengapakah sesiapa yang menulis mengenai keraguan sedemikian dipenjarakan, manakala menghina Nabi SAW pula dibenarkan?" katanya. - AFP

Berita Harian X