Isnin, 26 Oktober 2020 | 7:40pm
Penunjuk perasaan antikerajaan membantu rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan polis rusuhan di jambatan Al-Jumhuriyah yang menyeberangi Sungai Tigris. - Foto AFP
Penunjuk perasaan antikerajaan membantu rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan polis rusuhan di jambatan Al-Jumhuriyah yang menyeberangi Sungai Tigris. - Foto AFP

Penunjuk perasan, pasukan keselamatan bertempur di Baghdad

BAGHDAD: Puluhan penunjuk perasaan warga Iraq sekali lagi bertempur dengan pasukan keselamatan di Baghdad hari ini, sehari selepas tunjuk perasaan menandakan ulang tahun pertama bermulanya demonstrasi antikerajaan besar-besar di seluruh negara.

Polis bertindak menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan yang membakar tayar serta melempar batu di jambatan Al-Jumhuriyah terletak di sebarang Sungai Tigris, menghala ke zon hijau yang mempunyai binaan benteng tinggi, lapor jurugambar AFP.

Jambatan itu dihalang binaan dinding konkrit tinggi, memisahkan zon hijau dari Tahrir Square, iaitu pusat demonstrasi lama dan baharu.

Zon hijau yang diklasifikasikan selamat adalah kawasan terletaknya pejabat kerajaan, parlimen dan kedutaan Amerika Syarikat (AS), di mana warga Iraq biasa adalah dilarang memasukinya.

Pada demonstrasi ulang tahun lalu, tunjuk perasaan juga diadakan di bandar sebelah selatan yang didominasi puak Syiah.

Di kota Karbala yang turut menjadi pusat demonstrasi tahun lalu, semalam penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan lalu pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke udara untuk suraikan peserta.

Di Diwaniyah, penunjuk perasaan merangkumi golongan muda membakar tayar kereta di Nasiriyah termasuk juga di sebelah selatan pada malam semalam.

Mereka berada di dataran utama sambil menyanyikan lagu kebangsaan di tengah-tengah sambutan dengan tembakan bunga api.

Ribuan rakyat Iraq turun ke jalan raya di seluruh negara semalam, untuk mengenang ulang tahun pertama pemberontakan 2019 yang dikenali 'Revolusi Oktober'.

Peristiwa itu menuntut penggulingan seluruh peringkat kerajaan yang dituduh tidak cekap dan terbabit rasuah.

Sekitar 600 penunjuk perasaan terbunuh, manakala 30,000 cedera dalam insiden keganasan berkaitan tunjuk perasaan di seluruh negara itu.

'Bahang' tunjuk perasaan itu mula surut dan berakhir berikutan penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi, yang baharu memegang tampuk kuasa kerajaan hanya enam bulan menggesa pasukan keselamatan untuk mencari kaedah bagi mengawal penunjuk perasaan. - AFP

Berita Harian X