Ahad, 25 Oktober 2020 | 12:14pm
Penduduk Kuwait menunjukkan sepanduk mengecam Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berhubung isu karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW. - FOTO AFP
Penduduk Kuwait menunjukkan sepanduk mengecam Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berhubung isu karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW. - FOTO AFP

Gesaan boikot barangan Perancis kian memuncak

DOHA: Gesaan memboikot barangan buatan Perancis semakin memuncak di dunia Arab dan tempat lain selepas Presiden Emmanuel Macron mengkritik umat Islam serta berikrar mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Macron membuat kenyataan itu, Rabu lalu, sebagai mengulas insiden kepala seorang guru, Samuel Paty, dipenggal di luar sekolahnya yang terletak di pinggir kota luar Paris pada awal bulan ini.

Kejadian berlaku selepas Paty menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW, ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Semalam, Kementerian Luar Jordan mengutuk penerbitan berterusan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW atas alasan kebebasan bersuara, dan sebarang percubaan mengelirukan serta diskriminasi untuk mengaitkan Islam dengan keganasan.

Namun, kementerian itu tidak mengkritik Macron secara langsung.

Bagaimanapun parti pembangkang Jordan, Barisan Hadapan Tindakan Islam, menuntut Macron memohon maaf atas kenyataannya dan menggesa rakyat memboikot barangan buatan Perancis.

Dalam pada itu, tindakan memboikot sedemikian turut berlaku di Kuwait dan Qatar. - AFP

Berita Harian X