Sabtu, 24 Oktober 2020 | 5:23pm

OIC kecam Perancis mengapikan sentimen anti Islam

ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini mengutuk serangan, hasutan dan sentimen anti Islam yang berterusan serta perbuatan menghina Nabi Muhammad, lapor agensi berita Anadolu.

Pertubuhan itu, dalam satu kenyataan, mengkritik wacana sesetengah ahli politik Perancis yang dianggap memudaratkan hubungan Islam-Perancis, mencetuskan kebencian dan hanya menegakkan kepentingan politik kepartian.

"OIC akan sentiasa mengutuk amalan, kata-kata nista dan menghina Nabi Muhamad, Kristian mahu pun Yahudi kerana kita mengutuk setiap kejahatan yang dilakukan atas nama agama," katanya.

Menurut laporan Anadolu lagi, OIC juga mengutuk pembunuhan guru Perancis, Samuel Paty, yang dipenggal pada minggu lalu di pinggir bandar Paris, kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada anak muridnya.

Kenyataan itu juga menolak hasutan menentang Islam, simbol yang mengaitkan umat Islam dengan keganasan dan perbuatan mempersendakan Nabi Muhammad.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menuduh Islam dan penganutnya sebagai 'pemisah' selain pernah mengatakan Islam adalah agama yang dilanda krisis di seluruh dunia.

Pada masa sama, majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, melakukan tindakan provokatif menerbitkan kandungan anti-Islam dan karikatur Nabi Muhammad, yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kartun kontroversi itu mencetuskan kemarahan dan ketidakselesaan dalam kalangan orang Islam seluruh dunia pada 2005 apabila ia pertama kali diterbitkan oleh akhbar Denmark, Jyllands-Posten.

Awal September lalu, Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun seumpamanya ketika permulaan perbicaraan serangan militan Islam di pejabatnya di Paris pada Januari 2015, yang mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Sejak beberapa tahun lalu, Perancis digesa meneliti semula nilai republikan yang dilaksanakannya, berikutan dakwaan diancam agama Islam susulan beberapa kes keganasan sejak 2015, yang menyasarkan kebebasan sekular. - AGENSI

Berita Harian X