Sabtu, 17 Oktober 2020 | 8:06pm
New Zealand melaporkan tiga kes import COVID-19 yang dikesan di kemudahan pengasingan. - Foto AGENSI
New Zealand melaporkan tiga kes import COVID-19 yang dikesan di kemudahan pengasingan. - Foto AGENSI

COVID-19: New Zealand lapor 3 kes pada hari pilihan raya

WELLINGTON: New Zealand melaporkan tiga kes baharu COVID-19 pada hari pilihan raya umumnya hari ini, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

Menurut kementerian itu, ketiga-tiga kes terbabit adalah kes import yang dikesan di kemudahan pengasingan yang dikendalikan.

Kes pertama tiba dari Britain melalui Singapura pada 9 Oktober. Kes import kedua dan ketiga tiba dari Emiriah Arab Bersatu pada 13 Oktober.

Jumlah kes COVID-19 yang disahkan di New Zealand mencapai 1,527, iaitu jumlah yang dilaporkan oleh negara itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jumlah kes COVID-19 aktif adalah 40, tiada satu pun daripadanya kes komuniti aktif. Tidak ada seorang pun di hospital yang dijangkiti COVID-19 di New Zealand, kata kementerian itu.

Makmal di seluruh New Zealand memproses 4,794 lagi ujian, menjadikan jumlah ujian yang diselesaikan sehingga kini adalah 1,026,725.

New Zealand kini berada di Tahap 1 Amaran COVID-19. Hari ini ialah adalah hari pemilihan untuk Pilihan Raya Umum dan referendum 2020 New Zealand. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X