Khamis, 1 Oktober 2020 | 7:20pm
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob.
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob.

VSOM2 tanda komitmen Malaysia anjur APEC 2020 secara maya

MESYUARAT Pegawai-Pegawai Kanan APEC Secara Maya Ke-2 (VSOM2) pada Selasa, membuktikan komitmen penuh Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020 menerusi penganjurannya secara dalam talian. 

Mesyuarat maya yang dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, tertumpu kepada perbincangan gerak kerja program APEC 2020 bagi memastikan ia mencapai kemajuan yang mantap. 

Antara isu utama yang diberi penekanan ialah gesaan penubuhan platform perkongsian maklumat digital dalam kalangan 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) iaitu APEC COVID-19 LIVE.

Cadangan penubuhan platform digital itu disampaikan oleh Hairil Yahri Yaacob seiring dengan kenyataan bersama Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) yang menyatakan keperluan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan segera.

"Saya perlu menekankan di sini bahawa amat penting untuk kita mencapai persetujuan secara kolektif mengenai cadangan ini dan memastikan platform digital itu menjadi kenyataan sebelum Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC Secara Maya Ke-2 (VSOM2) pada Selasa.

Platform APEC COVID-19 LIVE bertujuan, mengenal pasti dasar intervensi, langkah-langkah, program dan inisiatif yang diguna pakai oleh ekonomi APEC untuk menangani krisis kesihatan.

Image

Selain COVID-19 LIVE, perbincangan mengenai pelaksanaan utama dan dokumen hasil lain yang telah dimasukkan dalam agenda, termasuk penubuhan Subdana untuk Kerjasama APEC bagi Memerangi COVID-19 dan Pemulihan Ekonomi.

Agenda lain termasuk Program Kerja Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER), penilaian akhir mengenai Matlamat Bogor, Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Kesalinghubungan APEC, dan penilaian akhir Strategi APEC untuk Mengukuhkan Pertumbuhan Berkualiti.

 

Berita Harian X