Khamis, 1 Oktober 2020 | 6:38pm
Rakyat China mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung atau melancong sempena cuti Goden Week. - Foto EPA
Rakyat China mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung atau melancong sempena cuti Goden Week. - Foto EPA

Rakyat China mulakan percutian, sempena Golden Week

BEIJING: Ratusan juta penduduk di China bersesak dan memenuhi lapangan terbang dan stesen kereta api hari ini bagi meraikan cuti umum pertama sejak negara itu berjaya memerangi penularan COVID-19.

Cuti 'Golden Week' selama lapan hari bermula hari ini.

Cuti bersempena Minggu Emas atau Golden Week itu menandakan penubuhan Republik China pada tahun 1949 dan kebiasaannya penduduk mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung atau melancong.

Salah seorang rakyat yang berasal dari Shanghai, Niu Honglin berkata, mereka sekeluarga terpaksa bersesak memandangkan begitu ramai penduduk mengambil kesempatan bercuti dalam negara.

"Kebiasaannya, kami akan membawa keluarga bercuti ke luar negara ketika Golden Week, tetapi tahun ini kami bercuti dalam negara sahaja.

"Bagaimanapun, percutian ke Shanghai Disneyland berdepan kesukaran berikutan terlalu ramai pelancong bersesak sehingga anak perempuan saya perlu beratur sehingga tiga jam untuk satu permainan," katanya.

Pelancongan domestik di China kini yang berada dalam fasa pemulihan membolehkan ekonomi negara itu sedang diperkukuhkan semula.

Sebelum ini bukan sahaja banyak perniagaan terpaksa ditutup, bahkan ia menimbulkan kebimbangan kepada pelancong untuk keluar bercuti.

"Ekonomi di China telah menunjukkan daya tahan yang kuat dan kami akan memupuk pertumbuhan baharu bagi memacu ekonomi yang mampan," Perdana Menteri, Li Keqiang memaklumkan Parlimen semalam. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X