Khamis, 1 Oktober 2020 | 8:20am
ENAM roket dilancarkan di Wilayah Nineveh sasar ke arah tentera AS. Foto/Agensi
ENAM roket dilancarkan di Wilayah Nineveh sasar ke arah tentera AS. Foto/Agensi

Sekutu Iran lancar roket ke arah tentera AS

SULAIMANIYAH: Rangkaian angkatan tentera didominasi sekutu pasukan Iran, Hashed al-Shaabi didakwa menyasarkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam suatu serangan roket.

"Enam roket dilancarkan dari wilayah Nineveh oleh Hashed al-Shaabi, ke arah lapangan terbang Arbil yang menempatkan tentera AS," kata Bahagian Antikeganasan Kurdis dalam kenyataan, semalam.

Komander Parti Demokratik Kurdis Iran (PDK-I), Souran Ali, sebelum ini dilaporkan berkata, tiga roket dilancarkan sebelum ini, namun tidak menyebabkan sebarang kematian.

Beliau berkata, tiga roket itu disasarkan untuk membedil ibu pejabat PDK-I yang terletak dua kilometer dari lapangan terbang Arbil, pada jam 8.30 malam (waktu tempatan).

Bekas Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari, dalam kenyataan di Twitter, berkata roket berkenaan dilancarkan oleh kumpulan sama yang menyerang kedutaan AS di Baghdad dan konvoinya, justeru tindakan sedemikian wajar dihentikan.

Kira-kira 40 serangan roket disasarkan terhadap beberapa lokasi penting AS di Iraq, sejak awal Ogos lalu, termasuk satu serangan roket, pada Isnin lalu yang membedil sebuah perkampungan dekat lapangan terbang Baghdad.

Serangan terhadap perkampungan yang menempatkan tentera AS itu mengorbankan lima kanak-kanak dan dua wanita daripada keluarga sama.

Jabatan Negara AS, kelmarin menyalahkan angkatan tentera sekutu Iran di Iraq dan menyifatkan kumpulan terbabit berupaya mengundang bahaya luar jangka di Iraq.

Washington turut mengugut untuk menutup kedutaan di Iraq dan memanggil balik 3,000 tentera di negara berkenaan sekiranya serangan roket gagal dihentikan. - AFP

Berita Harian X