Khamis, 1 Oktober 2020 | 7:27am
Gambar fail, Vladimir Putin (kanan) bersama Emmanuel Macron melambai tangan ketika tiba di Istana Versailles, berhampiran Paris untuk satu mesyuarat pada 2017. - Foto AFP
Gambar fail, Vladimir Putin (kanan) bersama Emmanuel Macron melambai tangan ketika tiba di Istana Versailles, berhampiran Paris untuk satu mesyuarat pada 2017. - Foto AFP

Putin, Macron arah hentikan pertelagahan di Karabakh

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memutuskan supaya pertelagahan di Karabkh dihentikan sepenuhnya.

Pemimpin kedua-dua negara itu turut menzahirkan untuk bersedia menggandakan usaha diplomatik bagi merungkai konflik yang tercetus di wilayah antara Armenia dan Azerbaijan berkenaan.

Kremlin dalam satu kenyataan menjelaskan Putin dan Macron mencapai kesepakatan supaya gencatan senjata dimeterai antara pihak yang bertelagah secepat mungkin.

"Langkah lain mencakupi usaha meredakan ketegangan dan mengelak sebarang konflik yang berpanjangan.

"Pemimpin kedua-dua negara juga bersedia untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kumpulan pengerusi bersama Kumpulan Minsk, iaitu Russia, Perancis dan Amerika Syarikat.

"Langkah sedemikian berupaya membawa kepada penyelesaian konflik secara segera dan memulakan usaha rundingan.

"Putin juga memaklumkan Macron bahawa sebarang cubaan untuk mencampuri hal ehwal negara ketiga adalah tidak boleh diterima, selepas berbincang mengenai Belarus," katanya.

Perbincangan menerusi panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu diadakan selepas pertemuan antara Macron dan pemimpin pembangkang Belarus, Svetlana Tikhanovskaya di Vilnius, kelmarin, namun tiada kenyataan daripada Kremlin berhubung mesyuarat sedemikian.

Selama beberapa minggu, Belarus dilanda insiden tunjuk perasaan susulan pertikaian oleh pembangkang dengan mendakwa keputusan pemilihan yang menyaksikan Presidennya, Alexander Lukashenko memperoleh kemenangan secara besar-besaran adalah tidak sahih.

Pentadbiran Perancis yang diterajui Macron pula berulang kali cuba mengadakan perbincangan dengan Russia sehingga percaturan sedemikian kadang kala memberi tempias negatif terhadap kedudukan negara berkenaan di 'mata' sekutu Kesatuan Eropah. - AFP

Berita Harian X